suria

Sekeluarga menggigil, kucing kesayangan sarat mengandung hilang 4 kaki... bangkai Cantik diletak dalam kotak - “Macam tulang ayam ditarik dagingnya”

Kucing Salina ditemui mati berhampiran rumahnya pada Jumaat.

KEJAM dan tidak berperikemanusiaan.

Begitulah gambarannya mengenai nasib seekor kucing yang sarat mengandung apabila keempat-empat kakinya putus pada pagi Jumaat.

Menurut pemilik kucing itu, Mur Salina Junaidi, 20, dia yang berada di tempat kerjanya di Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur bergegas pulang ke rumah setelah dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh ahli keluarganya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mengaku cat lovers tapi tengok kucing jalanan nampak jijik, rasis sangat”

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar ‘pasrah’ dapat kucing minat laptop, digigit-gigitnya skrin sewaktu kelas online

Mesra disapa Salina, dia mengakui terkejut dan menggigil apabila melihat sendiri bangkai haiwan itu yang ditinggalkan dalam sebuah kotak berhampiran kediamannya di Gombak, Selangor.

"Saya ada di pejabat. Kemudian keluarga maklumkan nampak kucing kami mati, ditinggalkan dalam kotak di belakang kereta.

"Kakinya seperti dipotong. Apabila diteliti dekat, seolah-olah keempat-empat kaki tu direntap sehingga tercabut.

Salina membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

"Macam tulang ayam yang ditarik dagingnya. Kucing saya yang mati tu namanya Cantik, tengan sarat mengandung," ujar Salina kepada mStar.

Menurut gadis itu lagi, ahli keluarganya turut bersedih dan menggigil setelah melihat sendiri keadaan kucing itu.

Risau akan apa yang berlaku, dia turut membuat laporan di Balai Polis Gombak pada hari sama.

Di kawasan rumah saya juga tiada sebarang kesan darah. Tak ada nak syak sesiapa.

SALINA

"Kami semua ketar tangan, sebab tak pernah kena pengalaman macam ni. Satu famili sedih.

"Rasa terancam, sebab kucing saya seperti dibunuh ditempat lain sebelum ditinggalkan di dalam kotak. Kalau tak ada motif, kenapa tak buang terus je?

"Di kawasan rumah saya juga tiada sebarang kesan darah. Tak ada nak syak sesiapa, jiran-jiran saya pun mereka bela kucing.

"Di rumah saya ada enam ekor kucing semuanya," jelasnya lagi.

Antara yang dikongsi di Instagram Salina.

Masih bersedih dengan apa yang berlaku, Salina juga berharap agar pelaku menerima hukuman setimpal atas apa yang berlaku.

"Kepada pelaku, kalau dia boleh lari di dunia, di akhirat dia akan terima balasan," ujarnya dalam nada sebak.

Salina turut berkongsi berita duka itu menerusi laman Instagram miliknya pada Isnin.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain