suria

Ex-GF akhirnya unblock Instagram selepas 4 tahun, pemuda ini tak tunggu lama terus ajak kahwin - “Berkawan sekejap, saya macam tak suka dia”

Pasangan pengantin muda, Icha dan Firdaus mendirikan rumah tangga pada 30 Januari lalu.

MULANYA tak suka lama-kelamaan jatuh cinta.

Begitulah kisah pengantin muda, Hanieysha Syafina Hanafi, 19, dengan suaminya Ahmad Firdaus Azizan, 21 yang baru sahaja mendirikan rumah tangga pada 30 Januari lalu di Tok Jembal, Kuala Terengganu.

Bercakap dengan mStar, pengantin perempuan yang lebih mesra disapa Icha itu mengakui bersyukur apabila perkenalan mereka berputik semula selepas dia membuka sekatan atau 'unblock' pemuda itu di Instagram dan siapa sangka akhirnya membawa kepada penyatuan mereka sebagai suami isteri.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua kelas ajak bergambar pada hari terakhir sekolah, dipendekkan cerita 8 tahun kemudian pasangan doktor gigi-juruaudit bersanding atas pelamin

ARTIKEL BERKAITAN: Ajak kawan teman ke kursus kahwin, apa yang jadi memang tak disangka... siap berani WhatsApp mak! - “Ibu sukar lepaskan sebab kami muda”

"Saya mula kenal dengan Firdaus pada tahun 2016, masa tu saya sekolah lagi Tingkatan 2. Kami berkawan sekejap sahaja lepas tu saya macam tak suka dia dan terus 'block' di Instagram.

"Tiba-tiba tahun lepas saya buka senarai 'block' terus terdetik eh kenapa saya 'block' lelaki nih. Saya pun 'unblock' la dia.

"Masa bulan puasa, tak sampai beberapa hari dia pun DM saya ucap selamat berpuasa dan pada masa sama saya balas. Selepas tu dia ajak jumpa. Saya setuju tetapi ada syarat iaitu dia perlu datang rumah jumpa keluarga dahulu.



Detik di mana cinta antara Icha dan suaminya berputik selepas dia membuka sekatan di Instagram.

"Dia pun setuju dan itulah pertama kali kami jumpa dan selepas Hari Raya tahun sama dia sampaikan hasrat nak jadikan saya isteri," ujarnya.

Tambah Icha yang kini bekerja sendiri, dia terkejut kerana masa berlalu sangat pantas dan tidak menyangka pemuda itu adalah jodohnya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu terus meminta Firdaus untuk berjumpa keluarga bagi menyampaikan hasratnya itu.

"Disebabkan mak ayah saya dah lama bercerai jadi dia perlu jumpa ibu saya sebelum ke Kuala Lumpur untuk dapatkan restu ayah saya.

"Apa yang saya fikir masa tu, biarpun usia kami muda tetapi kalau dia ikhlas dan tahu tanggungjawab tak ada salahnya.



Video yang dimuat naik Icha tular di aplikasi TikTok sehingga mendapat 28,000 tanda suka.

"Cuma biasalah terkejut sebab cepat sangat masa berlalu. Padahal sekian lama kami tak berhubung antara satu sama lain dulu. Bila dah 'unblock' tak sampai berapa lama hubungan terus jadi lebih serius. Itulah nama jodoh," katanya.

Berkongsi kisah percintaannya terdahulu, kata Icha, dia pernah menjalinkan hubungan dengan bekas kekasih yang merupakan seorang kaki pukul.

"Bila kahwin saya luahkan rasa syukur di media sosial kerana suatu ketika dahulu saya pernah trauma disebabkan kekasih seorang kaki pukul.

Bersyukurnya saya diberikan jodoh ini. Ya, saya tak menafikan ini adalah pinjaman Allah tetapi kan lagi bagus kalau mereka mendoakan saya dengan suami.

HANIEYSHA SYAFINA HANAFI

ISTERI

"Saya pernah dipukul teruk depan mata ibu saya. Masa bercinta semua nampak manis, bila dah lama ibu saya tegas tidak benarkan saya teruskan hubungan itu.

"Bersyukurnya saya diberikan jodoh ini. Ya, saya tak menafikan ini adalah pinjaman Allah tetapi kan lagi bagus kalau mereka mendoakan saya dengan suami," ujarnya mengenai kecaman ramai yang menganggap segala-galanya manis ketika bercinta.

Dalam pada itu, Icha meluahkan rasa sedih kerana ada juga segelintir netizen yang menganggap dia berkahwin kerana sudah terlanjur dan sebagainya.

"Kami kahwin muda, baru dua minggu tunang terus kahwin. Mesti dalam fikiran, ramai anggap negatif sahaja.

"Biarpun tak lakukan seperti tanggapan mereka tapi saya malas nak balas komen sebab tak ada faedah," katanya.



Icha dan Firdaus berharap rumah tangga mereka yang dibina pada usia muda berkekalan hingga jannah.

Icha yang sejak kecil membesar dalam keadaan kedua ibu bapanya bercerai begitu menghargai sebuah kasih sayang seperti mana yang dirasainya ketika ini.

"Saya kurang kasih sayang seorang bapa jadi bila Allah SWT hadirkan insan yang istimewa ini pasti saya bersyukur tak terkata," katanya.

Kedua mereka yang berniaga sendiri ini berharap rumah tangga yang dibina akan dilimpahi rezeki, diberi kekuatan menempuh alam perkahwinan dan berkekalan hingga ke jannah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain