suria

Geram martabat guru diperlekeh, Cikgu Fadli pertahan pengajar DidikTV dimalukan gara-gara slang Bahasa Inggeris tak macam ‘mat salih’ - “Yang mana hebat tu cuba mengajar live!”

Cikgu Fadli (kiri) menegur tindakan segelintir pihak yang seolah-olah merendahkan martabat guru.

HANGAT di media sosial ketika ini di mana netizen mengecam penyampai radio Hitz FM, Yusuf Shukri kerana bersikap biadab apabila mentertawakan cara penyampaian Bahasa Inggeris seorang tenaga pengajar saluran DidikTV, menerusi video TikTok.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian seorang guru, Mohd Fadli Salleh yang sememangnya tidak asing lagi di laman sosial Facebook.

Menerusi satu posting, Mohd Fadli tampil menegur tindakan pihak yang memalukan guru berkenaan dan dalam masa yang sama mempertahankan guru wanita tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyampai Hitz FM beraksi biadab terbahak-bahak ketawakan guru ajar Bahasa Inggeris untuk ‘content’ TikTok digantung kerja

"Mengecam, menyindir, memalukan sesuatu pihak seakan menjadi budaya dalam sesetengah masyarakat kita. Tajuk cerita diperbesarkan, martabat guru diperlekehkan.

"Ada pihak guna tajuk 'Macam ini level cikgu negara kita?' hanya kerana kesalahan kecil. Ada salah, tegur melalui saluran yang betul tanpa perlu memalukan dan menjatuhkan martabat sesiapa," ujarnya dalam posting tersebut.



Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, Yusuf ketawa seolah-olah memperlekehkan cara penyampaian guru berkenaan.

Menurut Mohd Fadli, guru yang mengajar secara langsung berdepan dengan tugasan yang mencabar dan bukan sesuatu yang mudah walaupun untuk individu yang berpengalaman.

Tambahnya, tidak wajar meletakkan jangkaan tertentu dan mengharapkan penyampaian Bahasa Inggeris guru berkenaan begitu sempurna sebagaimana lidah 'mat salih'.

"Guru ini bangsa Melayu. Lahir dan membesar di negara Malaysia. Nak harap dia cakap English slang macam mat salih? Gila. Sama macam kau suruh mat salih yang belajar Bahasa Melayu cakap macam kita cakap. Boleh?

Guru bukan maksum, ada salah. Kesalahan itu perlu ditegur dengan cara yang betul, bukan dijadi bahan gelak ketawa dan dipersenda.

MOHD FADLI SALLEH

GURU

"Beliau guru Sains. Bukan guru English. Keberanian beliau nak tampil ke depan untuk mengajar tu pun dah satu rahmat dan patut dipuji, bukan dikeji.

"Mata beliau memandang skrip masa mengajar. Kesilapan istilah dan grammar, besar kemungkinan salah dalam skrip yang ditulis. Patut ada pihak profesional semak dahulu skrip, yang proofread sebelum luluskan skrip," ujarnya.

Ulas Mohd Fadli lagi, objektif pembelajaran adalah subjek Sains, maka kesalahan sedikit sebanyak 'grammar' tidak sepatutnya menjadi isu.



(Kiri) Tindakan Yusuf mengundang kecaman guru lain. (Kanan) Yusuf tampil memohon maaf selepas videonya tular.

"Guru bukan maksum, ada salah. Kesalahan itu perlu ditegur dengan cara yang betul, bukan dijadi bahan gelak ketawa dan dipersenda.

"Yang mana hebat sangat mengecam itu ini, cuba tawarkan diri mengajar secara live atau di TV. Nak juga tengok hebat setakat mana sampai kecam macam sempurna sangat ni.

"Buat guru tersebut, anda hebat. Anda sangat berani. Pedulikan kata-kata negatif netizen. Ambil yang positif dan terus bersemangat untuk mendidik anak bangsa," tulisnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain