suria

[VIDEO] Penyampai Hitz FM beraksi biadab terbahak-bahak ketawakan guru ajar Bahasa Inggeris untuk ‘content’ TikTok digantung kerja

TINDAKAN keterlaluan seorang penyampai radio Hitz FM Sarawak, Yusuf Shukri mentertawakan kemampuan berbahasa Inggeris seorang guru yang juga tenaga pengajar di saluran DidikTV dikecam netizen.

Menerusi perkongsian video TikTok yang dimuat naik Yusuf, dia dilihat sangat kurang sopan apabila ketawa terbahak-bahak memperlekehkan cara penyampaian guru tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas viral tegur Rina Harun, Adibah Nor tawar diri jadi cikgu bahasa Inggeris Didik TV! Siap tayang kelayakan sebenar

Rata-rata netizen melahirkan perasaan marah dengan perlakuan Yusuf malah menggesa majikannya untuk mengambil tindakan tegas terhadapnya.

Selain netizen, laman Facebook komuniti Kami Guru Malaysia turut menggesa perkara sama dilakukan oleh Hitz FM.

"Biadab! Mohon cikgu-cikgu yang ada akaun TikTok sila laporkan akaun penyampai radio ini. Tidak ada rasa hormat terhadap guru ini yang mengajar di TV pendidikan.

"Pastikan radio Hitz FM ambil tindakan di atas perbuatan kurang bermoral penyampai radio ini," kata seorang pengguna.

Tindakan Yusuf turut dicerca guru lain.

Netizen turut menyerang laman Instagram penyampai tersebut dengan meminta dia digantung tugas agar dapat memberi pengajaran di atas tindakan keterlaluannya itu.

"Memperlekehkan cikgu Bahasa Inggeris yang mengajar kanak-kanak berusia sembilan tahun. How classy.

"Kamu tidak seharusnya mentertawakan cikgu macam itu. Ia langsung tidak kelakar untuk awak ketawa macam itu, apa yang tidak kena dengan awak ya?

"Selamat tinggal kepada kerjaya kamu.

"Yusuf, tidak kelakar langsung. Semua guru mencuba yang terbaik untuk mengajar pelajar lebih-lebih dalam keadaan sekarang (berhadapan dengan pandemik). Apa yang kamu buat ini sangat kurang ajar dan biadab," tulis netizen.

Netizen serang Instagram Yusof.

Sementara itu, dalam muat naik terbaharu di laman Instagram, Yusuf tampil membuat permohonan maaf terbuka kepada guru berbabit.

Dalam video itu, Yusuf menyedari akan kesilapannya mencerca seorang tenaga pengajar yang sedang mencurahkan ilmu kepada anak murid.

"Saya dengan ikhlas hati memohon maaf kepada guru terbabit, ahli keluarganya dan semua pihak di atas tindakan saya.

"Saya sedar video itu memang tidak kelakar langsung dan sesuatu yang tidak wajar dilakukan oleh saya.

"Saya tidak seharusnya menjadikan perkara ini sebagai bahan lawak, kerana guru-guru ini secara sukarela menawarkan khidmat untuk mengajar di hadapan kamera," katanya.

Dalam video itu juga, Yusuf meminta kepada sesiapa yang mengenali guru tersebut agar dapat membantunya supaya dapat bercakap sendiri untuk meminta maaf kepada guru wanita berkenaan.

Hitz Sarawak memohon maaf di atas tindakan keterlaluan penyampai radio mereka.

Dalam pada itu, Pengurus Besar, Astro Radio Malaysia Timur, Hafiz Nizamuddin berkata pihaknya memandang serius mengenai perkara memalukan itu.

"Kami mohon maaf di atas tindakan seorang penyampai kami berhubung video yang tular baru-baru ini.

"Kami mengambil serius mengenai perkara ini dan satu siasatan dalaman akan dijalankan. Buat masa ini, kami akan menggantung sementara tugas penyampai radio terbabit," katanya menerusi kenyataan media yang dikongsikan di Instagram Hitz Sarawak.

Video cikgu tersebut diambil daripada sedutan pengajaran di saluran TV pendidikan baharu, DidikTV yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu.

DidikTV ditubuhkan bertujuan memberikan alternatif kepada pelajar sebagai salah satu inisiatif Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar.

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain