suria

Mic tak on, imam solat tarawih terkejut keajaiban diharapkan benar-benar berlaku! Bilal nampak garang jadi hero - “Silap saya tak periksa dulu”

Furqan (kiri) berkongsi pengalaman mikrofon tidak dihidupkan ketika menjadi imam solat tarawih, sebelum dibantu oleh seorang bilal.

SEORANG imam mengalami 'pengalaman ngeri' yang pastinya tidak dilupakan apabila mikrofon yang digunakannya tidak dihidupkan ketika menunaikan solat tarawih.

Menerusi satu video yang dikongsinya di laman Instagram sehingga menjadi tular, imam berkenaan memaklumkan kejadian berlaku pada Ramadan tahun ini.

"Pengalaman ngeri tu berlaku tahun ni rasanya, imam je yang faham perasaan mic tak bunyi, dalam hati macam-macam dah fikir 'macam mana jemaah belakang nak dengar suara aku? Pakai suara hati?' Memang tak lah kan. Haha nasib baik bilal selamatkan," tulisnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah buat plan 'baik punya', tapi misi kejutan berakhir hambar! Pelik isteri pak imam tak ada perasaan terima surprise hadiah - "Macam saya pula kena prank"

ARTIKEL BERKAITAN: Hebat gaya BBNU, stail rambut tutup telinga macam Noh Hujan... apa yang dibuat di surau memang luar jangka, selepas solat terus main telefon - "Tuhan ajar saya on the spot"

Imam berkenaan, Muhammad Furqan Fawwaz Salleh Sani berkata, insiden berlaku ketika mengimamkan dia solat tarawih di Masjid At-Takwa di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, pada Selasa lalu.

Pemuda berusia 23 tahun itu bagaimanapun memberitahu bahawa dia hanya menyedari mikrofon tersebut tidak berfungsi ketika takbiratul ihram.



Jemaah dilihat belum mula solat tarawih berikutan mikrofon tidak dihidupkan ketika Furqan menjadi imam.

"Ia berlaku pada hari pertama saya jadi imam untuk solat tarawih pada Ramadan tahun ini. Bila saya sedar mic tak on, jadi saya cuba sehabis baik untuk kuatkan bacaan saya bagi membolehkan jemaah di belakang dapat dengar suara saya tanpa guna mikrofon.

"Malam tu ada dua imam untuk solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Ada imam lain untuk 10 rakaat pertama, dan saya jadi imam kedua. Saya sangka mikrofon terus dipasang tetapi telah dimatikan. Silap saya sebab tak periksa terlebih dahulu," katanya kepada mStar.

Bilal ni sebenarnya nampak garang tapi terima kasih kerana membantu saya. Ramai kata bilal ni hero dalam kejadian ni, betul lah tu

MUHAMMAD FURQAN FAWWAZ SALLEH SANI

Walaupun berlaku kesilapan teknikal, dia yang lebih dikenali sebagai Furqan bagaimanapun amat bersyukur kerana urusannya menjadi imam pada malam itu dipermudahkan.

"Saya bimbang jemaah lain terutama jemaah wanita di bahagian atas yang mungkin tidak dapat mendengar suara saya yang kuat.

"Apa yang saya harapkan supaya keajaiban berlaku ketika itu. Syukur Alhamdulillah seorang pakcik yang juga bilal di belakang bantu menghidupkan mikrofon di jubah saya, ketika saya masih dalam rakaat pertama.

"Jujurnya bilal ni sebenarnya nampak garang. Belum tegur dah nampak garang, tapi terima kasih kerana membantu saya. Ramai kata bilal ni hero dalam kejadian ni, betul lah tu," ujarnya yang merupakan guru di sebuah sekolah tahfiz di Gombak, Selangor.

Menerusi video itu, bilal tersebut di saf belakang imam kelihatan terpinga-pinga kerana jemaah masih belum bersedia. Bilal itu kemudian mendekati Furqan dengan menekan butang mikrofon dalam poket jubahnya sebelum suaranya bergema menerusi pembesar suara.



Furqan mengalami insiden 'mikrofon' ketika menjadi imam sebelum ini.

Dalam pada itu, Furqan yang juga ahli kumpulan nasyid Zayne berkata, insiden 'mikrofon' itu bukan pertama kali berlaku sejak menjadi imam solat tarawih seawal usia 13 tahun.

"Insiden Ramadan tahun ini adalah yang ketiga. Kejadian pertama berlaku pada 2016, PA system di sebuah masjid lain tiba-tiba 'blackout' ketika saya jadi imam solat tarawih.

"Kejadian kedua pula berlaku setahun selepas itu pada 2017, juga di masjid berlainan apabila mikrofon yang saya gunakan ketika jadi imam solat tarawih kehabisan bateri.

"Perkara yang berlaku memang tak dijangka, dan menjadi dugaan buat saya sebagai imam. Tapi saya okay je, solat diteruskan dengan menguatkan bacaan saya agar didengari jemaah," katanya yang popular dengan single duet bersama penyanyi Halim Ahmad berjudul Lembaran Juzuk Cinta yang meraih lebih 1.2 juta tontonan di laman YouTube.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain