suria

Derita ekzema sejak lebih 15 tahun lalu.... gadis tanggung rasa sakit yang sukar digambarkan, tiap malam tidur terganggu!

Gadis ini berkongsi penderitaan yang ditanggung kerana menghidap ekzema sejak kecil.

PADA mulanya masalah ekzema yang dihidapi sejak kecik hanya 'menyerang' bahagian kaki, namun baru-baru ini ia merebak ke seluruh badan!

Tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan gadis ini menanggung penderitaan akibat masalah ekzema yang dihidapinya sejak lebih 15 tahun lalu.

Bukan sekadar gatal, namun gadis yang mahu dikenali sebagai Sofea berkata ekzema yang dihidapinya agak teruk sehingga tidur malamnya sering terganggu dan kulitnya berdarah secara tiba-tiba.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis ‘hilang’ nikmat makan guna tangan sebab ekzema – “Saya sampai total lost, rasa nak potong tangan tapi...”

ARTIKEL BERKAITAN: Kain lap kayangan didakwa mampu hilangkan ekzema? Kecoh apabila si penjual ‘overclaim’ nak tarik pelanggan - “Susah payah doktor rawat, dia pula dapat kredit”

"Dari kecil lagi saya ada ekzema dan sudah banyak kali berjumpa doktor. Tapi doktor kata masalah ini memang akan berlaku dan kena maintain jaga kulit.

"Pelbagai produk sudah saya cuba sebab ramai yang rekomen, sama ada beli yang moden atau tradisional. Tapi memang tiada yang serasi dengan saya setakat ini.

"Kalau sampai tahap teruk, mandi pun boleh terlompat-lompat bila air terkena luka. Macam mana orang luka sebab jatuh atau kemalangan, macam itu juga rasanya bila luka ekzema terkena air," kata gadis berusia 21 tahun ini.



Parut akibat kesan garu apabila tubuh badannya terasa gatal.

Tambah gadis ini, ekzemanya akan menjadi parah sekiranya berpeluh atau terdedah kepada habuk.

Apabila situasi itu terjadi, gadis ini berkata dia tidak dapat menahan diri daripada menggaru dah seterusnya menyebabkan kulit luka.

"Kalau dari segi pemakanan, saya tak alergi sangat... ia lebih kepada alergi peluh dan habuk. Tak boleh panas dan tak boleh juga terlalu sejuk.

"Kalau tidur, mesti selalu terjaga pukul tiga atau empat pagi sebab gatal. Selepas tu memang susah nak tidur dah. Esok bangun pagi mesti nampak keruping putih kulit atas cadar.



Cadar yang digunakan perlu digantikan dengan kerap kerana mempunyai tompokan darah dan keruping kulit.

"Kalau pakai cadar putih, memang akan ada tompok-tompok darah. Memang kerap kena tukar cadar," katanya yang menjalankan bisnes aksesori dan pakaian.

Gadis ini berkata pengalaman dimasukkan ke hospital pada 2019 kerana ekzema adalah pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan.

"Sepanjang menghidap ekzema, paling teruk saya kena pada 2019 sampai kena masuk hospital. Sebabnya kulit banyak luka-luka dan memudahkan ia terdedah kepada jangkitan kuman.

"Masa tu jangkitan kuman sampai ke bahagian tulang. Sakitnya tak boleh nak luah. Seminggu juga kena masuk wad," ujar anak bongsu daripada empat adik beradik ini.

Sepanjang menghidap ekzema, paling teruk saya kena pada 2019 sampai kena masuk hospital.

SOFEA

Bercerita lebih lanjut, Sofea berkata dia juga sering menjadi mangsa buli di sekolah kerana ada murid-murid lain menyindir masalah kulitnya.

"Sekolah rendah dan sekolah menengah, memang selalu jadi mangsa buli. Mereka seolah-olah geli dengan kulit saya. Bila ada kawan yang datang dekat, ada suara yang sindir 'tak gatal ke duduk sebelah dia?'. Saya diam dan buat tak tahu sajalah," katanya.

Tidak menyangka perkongsiannya di TikTok meraih melebihi sejuta tontonan, Sofea berkata dia sekadar mahu berkongsi mengenai ekzema yang dihidapinya dan ujian yang dilalui akibat masalah kulit tersebut.



Perkongsian Sofea turut mendapat perhatian netizen yang mengalami masalah yang sama.

"Setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Mungkin ini ujian untuk saya. Ya ada masanya rasa down tapi saya selalu ingatkan diri bahawa ada yang hadapi masalah kesihatan yang lebih teruk.

"Bila share di TikTok, ramai juga yang share masalah serupa. Rupa-rupanya saya tak keseorangan. Dan dari situ kita boleh beri sokongan antara satu sama lain.

"Ada juga yang rekomen produk. Terharu sangat bila ada yang ambil berat. Terima kasih saya ucapkan pada yang beri komen-komen positif," katanya lagi.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
ekzema, mangsa buli, masuk hospital, luka

Artikel Lain