suria

Selepas berhati-hati 200 peratus hasilnya cukup wow! Jurugambar ajak pengantin 'berendam' di air terjun, pengalaman sekali seumur hidup

Hasil fotografi oleh Azyan turut dikongsi menerusi media sosial miliknya.

LARI daripada kelainan biasa.

Begitulah ungkapan yang boleh menggambarkan idea kreatif jurugambar wanita ini apabila dia menjalankan sesi photoshoot bersama pasangan pengantin baharu di kawasan air terjun di Hulu Langat, Selangor pada penghujung Mac lalu.

Menerusi perkongsian di laman Twitter, hasil fotografi oleh Azyan Syazwani Rozik, 28, memaparkan pasangan itu sedang 'berendam' di dalam air sambil memakai busana pengantin berona putih.

ARTIKEL BERKAITAN: Baru 3 tahun jadi jurugambar dah ada syarikat, pemuda nak buat A to Z... lain rasanya lihat pengantin PKPB di pelamin karya sendiri

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki buta warna pilih kerjaya jurufoto, hasilnya sangat wow!

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Azyan sempat memperincikan proses photoshoot melibatkan pasangan dikenali sebagai Lia dan Zaidi itu yang berjaya dilaksanakan dalam tempoh kurang dua jam sahaja.

"Kami shoot di Sungai Gabai. Mereka sebenarnya baru berkahwin tetapi tak buat majlis, hanya akad nikah sahaja.

"Kemudian mereka cari saya untuk shoot gambar, saya cadangkan buat photoshoot post wedding di air terjun dengan pakaian pengantin.

Kata Azyan, idea asal diusulkan olehnya sendiri dan ia dipersetujui oleh pasangan pengantin.

"Mula-mula mereka segan, tapi saya yakinkan sebelum mereka bersetuju untuk ikuti sesi itu," ujarnya.

Menurut jurugambar yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu, dia mahu menampilkan elemen alam semula jadi dalam potret bahagia pasangan berkenaan.

Malah katanya, dia gembira apabila segala yang dirancang membuahkan hasil biarpun terpaksa melalui beberapa cabaran ketika ia dilaksanakan.

Sebelum masuk, saya tanya pengantin banyak kali... nak ke tak nak?

AZYAN

"Sebelum ia dimulakan, saya dah pesan kepada pengantin mengenai kemungkinan mereka perlu 'terjun' dalam air. Jadi mereka pun bawa pakaian tambahan.

"Kebetulan ketika itu baru lepas hujan. Saya sendiri masuk dalam air sehingga paras dada. Angkat tangan tinggi, kena berhati-hati 200 peratus sebab nak selamatkan kamera.

Pengantin dan jurugambar turut melalui cabaran sewaktu sesi photoshoot itu.

"Saya pun pernah ke lokasi itu sebelum ini, jadi saya tahu bagaimana keadaannya. Antara cabaran, batu agak licin. Kalau jatuh, kita yang sakit.

"Kemudian risau juga kalau tiba-tiba hujan. Takut juga ada kepala air. Tapi bila tengok keadaan bersesuaian dan cuaca makin cerah, kami teruskan.

"Sebelum masuk, saya tanya pengantin banyak kali... nak ke tak nak? Mereka kata, sekali seumur hidup, alang-alang dah datang, baik buat terus," imbasnya lagi.

Kata Azyan, dia juga bersyukur apabila pasangan itu gembira dengan hasil fotografi berkenaan.

Studio Azyan bakal dibuka tak lama lagi.

Bercerita mengenai dirinya, Azyan sebelum ini berkhidmat sebagai guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah di Selangor sebelum meninggalkan kerjaya itu pada tahun 2020 untuk fokus terhadap bidang fotografi.

Selain bergelar jurugambar, dia turut menjalankan kelas dan bengkel fotografi untuk berkongsi kemahiran yang dimiliki.

Sudah enam tahun menceburi bidang kreatif itu, Azyan kini dalam proses membuka sebuah studio dikenali sebagai Ruang Sedara bersama tiga sepupunya di Empire City, Damansara, Selangor.

Tambah Azyan, studio itu dijangka memulakan operasi pada 12 April ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain