suria

Lelaki buta warna pilih kerjaya jurufoto, hasilnya sangat wow! - “Client ragu-ragu, saya tak ambil hati”

Azwan mula menyedari masalah buta warna sejak berusia 18 tahun.

SENTUHAN kreatif dalam setiap karya yang dihasilkan membuatkan segelintir individu tidak percaya bahawa jurufoto ini sebenarnya mengalami masalah buta warna.

Menurut Azwan Ali Ahmad Zainal Latifi, 26, masalah penglihatan itu disedari sewaktu dia dalam proses memohon lesen memandu, sekitar lapan tahun lalu.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Azwan tidak melihat buta warna sebagai satu kekurangan, namun menjadikan ia sebagai satu kekuatan buat dirinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Baru 3 tahun jadi jurugambar dah ada syarikat, pemuda nak buat A to Z... lain rasanya lihat pengantin PKPB di pelamin karya sendiri

ARTIKEL BERKAITAN: Hari nak hujan, jurugambar berpeluh penuhi hasrat pasangan mempelai bergambar naik vespa di bendang

"Dapat tahu masa umur 18, masa nak ambil lesen kereta. Semua jawapan saya salah sewaktu ujian warna.

"Kemudiannya saya rujuk pakar mata, dalam ujian yang dibuat, saya hanya betul dua daripada 25 soalan.

"Tapi tetap ambil lesen, ambil surat pengecualian doktor. Dekat lampu isyarat saya boleh je nampak. Alhamdulillah tak pernah ada kejadian tak diingini berlaku," ujarnya.

Antara foto makanan yang dihasilkannya sewaktu PKP tahun lalu.

Menurut Azwan yang berasal dari Lumut, Perak, dia sememangnya minat dengan dunia fotografi sejak kecil lagi, namun mula serius sewaktu menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) beberapa tahun lalu.

Malah katanya, dia tidak terlepas menerima usikan mengenai masalah buta warna, termasuklah wujud individu yang meragui kebolehannya.

"Saya belajar sendiri waktu sekolah, bila kat universiti, ada juga tengok tutorial di YouTube.

Ada juga client yang tak sangka saya shoot di rumah, sebab hasilnya seperti dihasilkan di studio.

AZWAN

"Semuanya bermula atas desakan rakan.Dia minta saya shoot gambar pertunangannya. Dari situ saya mula ambil job fotografi.

"Pernah beberapa kali ada yang ragu-ragu dengan saya, ada yang tanya... macam mana saya ambil gambar dan buat editing kalau buta warna?

"Saya tak pernah ambil hati. Kadang-kadang kalau tak pasti dengan warna, saya akan tanya kawan-kawan. Saya anggap buat warna ni sebagai satu kurniaan Allah," ujarnya yang sentiasa terbuka bercerita mengenai perihal masalah penglihatan itu menerusi laman sosialnya.

Masalah buta warna tidak menjadi penghalang untuknya berkarya.

Dalam pada itu, dia yang kini menetap di ibu negara turut terkesan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi dilaksanakan, seolah-olah mengulangi episod sama pada tahun lalu.

Namun katanya, dia cuba keluar dari kepompong selesa dan mula meneroka aspek lain dalam bidang fotografi demi meneruskan kelangsungan hidup.

"Masa PKP dilaksanakan tahun lepas, mula-mula tak rasa terkesan. Tapi makin lama, langsung tak ada job. Hanya bergantung pada simpanan pada waktu itu.

"Sampai satu tahap, saya hampir pulang ke kampung. Tapi pada masa sama, saya mula buat fotografi untuk makanan dan produk yang mana sebelum ini saya banyak fokus pada wedding photgraphy sahaja.

Azwan sebelum ini bermula sebagai jurugambar perkahwinan.

"Alhamdulillah, berkat kesabaran saya dapat dua job besar pada September tahun lepas. Masuk tahun ni makin teruk pula Covid-19, mungkin akan lalui perkara sama macam tahun 2020," ujarnya.

Menurut Azwan, PKP juga memaksa dirinya menjadi lebih kreatif apabila banyak berkarya dengan studio mini sendiri di kediamannya.

"Sekarang pelanggan boleh hantar makanan atau produk, saya shoot di rumah, atas meja makan je. Semua peralatan pun ada kat rumah.

"Ada juga client yang tak sangka saya shoot di rumah, sebab hasilnya seperti dihasilkan di studio," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p


Artikel Berkaitan

Artikel Lain