suria

Tersadai tepi jalan, lelaki ini tak sangka ada rider singgah jenguk dan hulur makanan... terkejut dapat tahu identitinya - “Saya minta rakan bawa dia datang rumah”

Kisah mengenai tindakan mulia seorang rider yang membantu dua beranak tersadai di tepi jalan mengundang pujian netizen.

JIKA melihat posting di media sosial, banyak kisah kebaikan pekerja syarikat penghantar makanan (rider) yang dikongsikan netizen.

Dalam kesibukan menghantar pesanan makanan pelanggan, mereka masih sempat menghulurkan pertolongan sekiranya terserempak dengan individu yang dalam kesusahan.

Baru-baru ini tular kisah seorang rider yang sempat membelikan makanan dan minuman kepada dua beranak yang tersadai di tepi jalan kerana tayar kereta mereka pancit.

ARTIKEL BERKAITAN: Dipuji kerana sanggup ulang alik 2 kali hantar parcel guru tercicir, abang kopiah hijau sempat bimbang nasib rider syarikat kurier

ARTIKEL BERKAITAN: Rider Foodpanda bukan saja hantar makanan ‘on time’, selamatkan perempuan cuba bunuh diri pun tepat pada masanya!

Kisah rider berkenaan menjadi tular selepas dikongsikan oleh pemandu kereta berkenaan di Facebook sehingga meraih hampir 800 perkongsian.

"Terima kasih Rider Foodpanda TCB 1570 sebab bawa makanan dan minuman untuk anak saya masa kereta tersadai sebab pancit. Ayat dia, 'saya nak tolong repair tak reti, saya bawa minuman untuk abang dan anak je la sebab cuaca panas. Saya tolong ikhlas bang'. Nak bayar untuk air dan biskut pun tak nak ambil duit," demikian tulisnya pada perkongsian berkenaan.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, pemandu berkenaan, Zairam Neezar berkata dalam kejadian pada Jumaat lalu itu, dia sedang dalam perjalanan dari Bangsar ke kediamannya di Cyberjaya bersama anak lelakinya yang berusia enam tahun.



Zairam Neezar berkongsi kisah kebaikan seorang rider menerusi satu perkongsian di Facebook.

"Saya baru lepas ambil anak dari kelasnya. Masa dalam perjalanan, tiba-tiba anak saya beritahu terdengar macam bunyi sesuatu. Tak lama selepas tu saya rasa dah tak sedap kemudian berhenti dekat tepi jalan.

"Bila turun kereta, tengok-tengok tayar belakang di sebelah kiri bocor. Saya minta anak keluar dan duduk dekat tempat selamat di tepi jalan, sementara tu tunggu rakan datang.

"Masa itulah rider Foodpanda ni datang. Dia kata dah dua kali trip hantar makanan tapi nampak saya masih dekat tepi jalan. Katanya, nak tolong repair tak pandai jadi dia mampu belikan makanan dan minuman sebab takut lapar," ceritanya ketika mengimbas semula detik ketika bertemu dengan rider berkenaan.



Tanpa disangka, rider yang membantu Zairam Neezar adalah sepupu kepada rakannya.

Terharu dan terkejut dalam masa yang sama, lelaki berusia 34 tahun ini berkata dia sempat menawarkan untuk membayar semula harga makanan yang diberikan namun rider berkenaan menolak kerana berniat ikhlas untuk membantu.

"Segala-galanya berlaku dengan pantas. Saya sempat tanya nama, tak sempat nak minta nombor telefon sebab masa tu rider berkenaan minta diri untuk menghantar pesanan makanan yang seterusnya.

"Saya ambil keputusan untuk buat perkongsian dekat Facebook kerana menghargai jasa baik rider tersebut... dalam sibuk cari rezeki tapi masih sempat hulurkan pertolongan. Dalam masa yang sama, saya nak kongsikan mesej positif daripada kisah ini," ujarnya yang juga seorang kakitangan di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Saya minta rakan bawa sepupunya tu datang rumah apabila situasi pandemik Covid-19 reda sikit nanti. Boleh kenal-kenal dengan insan baik hati ini.

ZAIRAM NEEZAR

Tambah lelaki ini lagi, dia sama sekali tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, namun bersyukur kerana rata-rata netizen bukan sahaja memberikan komen positif malah mendoakan rider berkenaan.

Namun paling tidak disangka, dia akhirnya mengetahui identiti rider berkenaan selepas dihubungi rakannya yang melihat perkongsian tersebut.

"Nak dijadikan cerita, betapa kecilnya dunia... rupa-rupanya rider itu sepupu kepada rakan saya. Kata rakan, sepupunya itu baru datang ke ibu kota dari Muar untuk bekerja sebagai rider.



Rata-rata netizen memuji sikap mulia rider berkenaan yang masih sempat menghulurkan pertolongan ketika sibuk bertugas.

"Gembira bila dapat tahu sebab masa hari tu tak sempat nak tanya dan bersembang lebih. Saya minta rakan bawa sepupunya tu datang rumah apabila situasi pandemik Covid-19 reda sikit nanti. Boleh kenal-kenal dengan insan baik hati ini.

"Apa yang boleh saya katakan, saya bersyukur dipertemukan dengan insan yang baik masa dalam kesusahan. Mungkin dah rezeki saya dan anak hari tu... namun saya yakin, jika orang lain yang mengalaminya pasti dia akan buat perkara yang sama," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain