suria

Doktor sekolahkan kumpulan bongkak anggap pandemik Covid-19 tak serius, siap jelaskan tak mudah tambah katil ICU – “Jangan memandai-mandai, nyawa manusia bernilai”

Peningkatan kes Covid-19 memberi kesan kepada penggunaan katil di ICU. gambar hiasan/ foto AP

SUDAH setahun pandemik Covid-19 melanda negara sejak kes pertama jangkitan wabak itu membabitkan rakyat Malaysia direkodkan, awal Februari tahun lalu.

Kes harian kini mencatatkan empat angka dengan keseluruhan lebih 250,000 kes dan jumlah kematian lebih 950 kes, namun masih terdapat segelintir pihak beranggapan pandemik ini tidak begitu serius.

Seorang doktor tampil memberi penjelasan mengenai pandemik Covid-18 sememangnya di tahap serius, dengan melihat kepada bilangan pesakit di unit rawatan rapi (ICU).

ARTIKEL BERKAITAN: Frontliner 'taat SOP' senasib dengan tok imam! Sakit hati disahkan positif Covid-19 tapi menangis dengar kawan titip ungkapan penyedap hati

ARTIKEL BERKAITAN: Kuarantin kerana jadi kontak rapat, jururawat hamil sayu dengar rayuan anak 4 tahun di 'voice note' - "Di luar tingkap bilik dia berdoa untuk mama, adik"

Dr Sakinah Sulong berkata, menurut Malaysian Registry of Intensive Report for 2017, Malaysia mempunyai sebanyak 691 katil ICU.

"Median umur yang dimasukkan ke ICU ialah 46.6 tahun dan majoriti sebabnya bukan kes pembedahan. Maksudnya, kebanyakan pesakit yang dimasukkan ke ICU ini masih muda, sekitar 40-an.

"Dan sebab kemasukan mereka berpunca daripada jangkitan kuman seperti sepsis, pneumonia, denggi dan komplikasi penyakit kronik. Ini semasa tiada Covid," tulis beliau di halaman Facebook.



Petugas kesihatan merawat pesakit Covid-19. gambar hiasan/ foto AZHAR MAHFOF/The Star

Berdasarkan statistik yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada 12 Februari 2021, Dr Sakinah berkata, bilangan pesakit Covid-19 yang sedang dirawat di ICU adalah 258 kes dan 119 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau menambah, dibandingkan pada 13 Januari 2021, seramai 190 orang yang dirawat di ICU dengan 83 daripadanya menerima bantuan pernafasan ventilator.

Merujuk kepada rekod KKM pada 13 Ogos 2020, hanya dua kes positif Covid-19 dirawat di ICU dan tiada pesakit Covid-19 yang menerima bantuan pernafasan.

"Besar bezanya tu, hanya dalam masa 7 bulan," tegas Dr Sakinah yang merupakan pakar perubatan keluarga.

Akan ada pesakit lain yang menerima tempias kerana tidak mendapat rawatan rapi yang optimum kerana katil ICU diperlukan untuk pesakit Covid-19

DR SAKINAH SULONG

Beliau turut mempersoalkan apakah yang berlaku sekiranya kemasukan pesakit Covid-19 ke ICU meningkat.

"Akan ada pesakit yang mengalami sepsis atau serangan jantung, atau pneumonia yang terpaksa dirawat di wad biasa, kerana katil ICU sudah habis digunakan untuk pesakit Covid-19.

"Sedangkan selama ini, BOR (kadar penggunaan katil) ICU sekitar 89 peratus, apatah lagi bila kes Covid-19 meledak," katanya sambil menambah kes meningkat sekitar Oktober, susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.



Petugas kesihatan berkhidmat tanpa mengira masa. foto AZHAR MAHFOF/The Star

Berpengalaman bertugas di hospital kerajaan, Dr Sakinah menyedari cabaran mengendalikan wad ICU.

"Kami yang pernah kerja di hospital, kami tahu susahnya untuk mendapatkan katil ICU. Dan bukan semudah itu katil ICU boleh ditambah kerana hanya staf yang terlatih saja yang boleh mengendalikan pesakit di ICU, termasuk jururawat-jururawatnya.

"Bagi setiap pesakit ICU, enam jururawat perlu bergilir-gilir untuk menjaganya. Dan ia amat tidak adil untuk mengharapkan staf di unit lain untuk bertugas di ICU sekiranya mereka tiada pengalaman," tambahnya.

Namun kata beliau, begitulah keadaan yang boleh berlaku sekiranya katil ICU dipenuhi dengan pesakit Covid-19.

"Akan ada pesakit lain yang menerima tempias kerana tidak mendapat rawatan rapi yang optimum kerana katil ICU diperlukan untuk pesakit Covid-19.

"Jangan pandang enteng, tuan puan. Staf kesihatan bersekang mata, siang dan malam nak menyelamatkan nyawa manusia.

"Walaupun mereka tak kenal pun siapa pesakit mereka, bangsa mereka apatah lagi pangkat mereka. Dan jangan memandai-mandai. Nyawa manusia tetap bernilai, walaupun satu hari mungkin manusia yang bongkak itu berada di katil ICU!" kata Dr Sakinah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain