suria

Calon SPM sedekah 10 kali harga order terkejut dapat habuan ‘lebih 2 bulan gaji’... bukan calang-calang, yang datang rumah bos Chatime! – “Saya menggigil satu badan”

(gambar kanan) Irsyad (kiri) menerima sumbangan daripada Pengarah Urusan Kumpulan Chatime Malaysia, Aliza Ali (kanan) sebagai penghargaan.

SEORANG calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini tular apabila membuat cabaran dengan membayar 10 kali ganda harga pesanan kepada penghantar makanan.

Bukan sekadar itu, pemuda berkenaan turut membuat kejutan apabila berkongsi pesanannya kepada setiap penghantar makanan terbabit, dengan niat untuk bersedekah.

Bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

ARTIKEL BERKAITAN: Calon SPM dedah siapa dirinya selepas sanggup hulur RM500 kepada rider demi cabaran 'bayar 10 kali ganda harga order'

ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara pilih jalan pintas... rider cuak masuk hutan, redah 'trek' motocross - "Kalau harimau baham, tinggal motosikal je... kalau pontianak?"

Begitulah yang dialami oleh Muhammad Irsyad Azhar apabila dia sendiri menerima kejutan dengan kedatangan pihak Chatime Malaysia, selepas membuat tempahan air minuman berharga RM23 bagi melakukan cabaran tersebut.



Selain tips 10 kali ganda, Irsyad turut memberikan pesanannya kepada penghantar makanan.

Kejutan yang tidak disangka-sangka menyaksikan kehadiran pemilik Chatime Malaysia, Aliza Ali ke kediaman keluarga remaja itu di Skudai, Johor sebagai tanda penghargaan.

Momen tersebut turut dikongsikan oleh Aliza menerusi laman sosial Instagram beliau pada Jumaat malam.

Aliza yang merupakan Pengarah Urusan Kumpulan Chatime Malaysia berkata, kedatangan beliau bersama wakil syarikatnya adalah untuk memberi ganjaran atas kebaikan yang dilakukan oleh remaja berusia 18 tahun itu.

"Saya diberitahu tentang Irsyad beri tips 10 kali ganda dan air minuman kepada penghantar makanan dan saya rasa dia layak mendapat ganjaran atas usaha yang dilakukannya itu.

"Jadi, saya membuat keputusan untuk memberikan 100 kali ganda daripada apa yang dibelanjakan oleh Irsyad sebagai tanda penghargaan," katanya kepada mStar.



Seorang lagi penghantar makanan yang menghantar pesanan kepada Irsyad.

Beliau turut berharap ganjaran yang tidak didedahkan nilainya itu menjadi permulaan yang baik kepada remaja itu untuk berbuat kebaikan dan mendorong lebih ramai melakukan perkara yang sama.

"Saya juga berharap amalan saling bantu-membantu akan lebih kerap dilakukan terhadap mereka yang memerlukan tanpa mengira sikit atau banyak bantuan itu," kata Aliza.

Saya berharap amalan saling bantu-membantu akan lebih kerap dilakukan terhadap mereka yang memerlukan tanpa mengira sikit atau banyak bantuan itu

ALIZA ALI

PENGARAH URUSAN KUMPULAN CHATIME MALAYSIA

Berkongsi pengalaman menerima kejutan itu, Irsyad berkata, dia pada mulanya menerima panggilan mengenai adanya parcel untuknya yang akan dihantar ke rumah.

"Saya tak tahu barang apa dan siapa yang hantar. Bila delivery sampai, saya terkejut bila lihat beberapa orang berada di luar rumah.

"Bila saya diberitahu bahawa salah seorang daripada mereka adalah bos Chatime, saya sangat terkejut sampai tak tahu nak kata apa. Saya menggigil satu badan!" katanya ketika dihubungi.



Selain wang saguhati dan baucar, Irsyad turut menerima sejumlah air minuman.

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, dia menerima sumbangan berupa wang saguhati, baucar minuman dan sejumlah air minuman daripada syarikat tersebut.

"Macam tak percaya, sebab siapalah saya yang biasa-biasa ni. Tapi saya percaya Allah dah aturkan rezeki buat saya.

"Kedatangan dan sumbangan mereka membakar semangat saya untuk berbuat kebaikan dan membantu mereka yang memerlukan. Saya amat berterima kasih," katanya.



Irsyad bekerja sebagai penghantar makanan secara sambilan.

Terdahulu, Irsyad sanggup membelanjakan sebanyak RM500 daripada gajinya RM700 untuk disedekahkan kepada dua penghantar makanan menerusi dua pesanan yang dibuat.

Pada pagi Jumaat, Irsyad menggunakan baki gaji RM200 tersebut untuk membeli kira-kira 38 nasi lemak ayam berharga RM100 daripada seorang peniaga untuk disedekahkan kepada orang ramai, manakala RM100 lagi disumbangkan kepada peniaga yang sama.

"Dalam rezeki saya, ada rezeki orang lain. Saya tak sangka selepas habiskan baki duit gaji untuk sedekah, petangnya saya dapat sumbangangan berkali-kali ganda... syukur alhamdulillah," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain