suria

“Dalam lori saya macam-macam ada” - Luaran nampak gembira, siapa sangka driver lori masak mi segera masa banjir sebenarnya rindu keluarga!

Video menunjukkan Iskandar sedang masak mi segera ketika terperangkap dalam banjir pada Ahad lalu, tular di media sosial.

SEPERTI yang diramalkan setiap hujung tahun, hujan lebat dan banjir sekali lagi melanda negara.

Bagi penduduk yang tinggal di kawasan berisiko, mereka sedikit sebanyak pasti akan melakukan persediaan awal.

Namun, ramai tidak tahu bahawa ada golongan lain yang turut mengambil langkah awal, termasuklah pemandu lori yang bila-bila masa saja terdedah kepada risiko apabila berada di kawasan atau negeri yang sering dilanda banjir.

ARTIKEL BERKAITAN: Setahun 8 kali banjir... air melimpah bapa selamba duduk atas kerusi, nak hias rumah pun tawar hati - “Dah habis RM60,000 upgrade”

ARTIKEL BERKAITAN: Tabik! Rela redah banjir, kenapa 2 jejaka ini digelar superhero? - “Pertolongan kecil bantu beratus lain”

Itulah yang dihadapi seorang pemandu lori yang mana video yang dikongsi di laman TikTok, menunjukkan dia sedang masak mi segera ketika terperangkap dalam banjir pada Ahad lalu, tular di media sosial.

Lebih menarik perhatian apabila pemandu lori tersebut dengan tenang dan selambanya mempelawa dua anggota bomba yang sedang bertugas membuat pemantauan ketika banjir untuk makan bersamanya.

"Mantap. Terima Kasih abang bomba datang jenguk kita. Sekejap, saya masak maggi dulu," demikian kapsyen pada posting videonya yang setakat ini mendapat lebih 80,000 tanda suka dan dihujani ribuan komen.

Iskandar bersama isteri dan tiga orang cahaya matanya.

Berkongsi cerita kepada mStar, Iskandar Sudirman, 34, berkata dia tidak menyangka video yang dimuat naik itu akan tular kerana menganggap ia hanya sebuah video santai.

”Saya sangkut dalam banjir dan masa tu lapar sangat, sebab tu saya masak mi segera.

“Memang dalam lori saya ni macam-macam ada... dari barang keperluan sampailah stok makanan. Sebab kerja saya memang redah hutan, ladang, banjir dan macam-macam tempat, ” katanya ketika dihubungi, Isnin.

Sebelum tu kami ada juga turun tolong mangsa-mangsa lain dekat situ. Bukan kami duduk dalam lori sahaja.

ISKANDAR

Menerusi video tersebut, Iskandar yang berasal dari Ulu Tiram, Johor, ini dapat dilihat sedang menyediakan mi segera, dipercayai perisa asam laksa menggunakan dapur mudah alih di bahagian dalam lori.

Pintu lori yang terbuka membolehkan air yang sudah naik menghampiri paras bahu dua anggota bomba yang sedang menyelamatkan mangsa di bahagian luar turut dapat dilihat.

“Kebetulan masa tu saya nampak macam ada orang datang ke arah lori saya, macam abang bomba.

“Saya siap sedia rakam video dan alang-alang ajak makan maggi sekali," katanya menceritakan kembali situasi banjir yang berlaku di Felda Ulu Jempol, Pahang itu.

Menurut Iskandar, dia dihampiri anggota bomba tersebut kira-kira jam 11.30 pagi dan mereka berdua berlalu pergi tanpa makan mi segera yang dimasak selepas memeriksa keadaannya di dalam lori baik-baik saja.

Bercerita lanjut, Iskandar yang terperangkap ketika dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lipis, Pahang berkata air mula naik bermula pada jam 9 pagi.

Keadaan lori dipandu Iskandar yang terperangkap dalam banjir.

“Dah lapar sangat, saya pun masak dulu makan dalam lori. Kalau air tak naik ke paras kerusi saya memang rancang nak tidur saja tunggu sampai air surut.

“Tetapi atas nasihat kawan, saya batalkan niat... saya terus keluar beberapa jam selepas itu.

“Kawan saya tu pun tersangkut dalam banjir, lori dia ada depan saya pada jarak lebih kurang 500 meter.

“Sebelum tu kami ada juga turun tolong mangsa-mangsa lain dekat situ. Bukan kami duduk dalam lori sahaja, ” jelasnya yang terperangkap selama 6 jam sebelum memutuskan untuk keluar dan berlindung di tempat lebih selamat.

Di sebalik kejadian ini, Iskandar turut meluahkan rasa rindu terhadap isteri dan tiga anaknya apabila mereka sudah tiga bulan tidak berjumpa disebabkan kerjanya yang tidak tentu masa.

Salah seorang anggota bomba yang datang bertanya keadaan Iskandar di dalam lori.

Menurut Iskandar, isteri dan anak-anaknya kini pulang ke kampung di Parit, Perak untuk tinggal di sana buat sementara waktu.

“Biasalah kerja bawa lori pendapatan tak tentu, waktu pun tak tentu juga.

“Saya harap mereka tak risaukan keadaan saya kerana semua peralatan keselamatan dan barang keperluan mencukupi.

“Cuma saya berdoa Covid-19 ni cepat berakhir. Ibu pun selalu pesan supaya saya hati-hati bekerja, ” ujarnya yang sudah 12 tahun bekerja sebagai pemandu lori.

Menerusi postingnya, rata-rata netizen memberi komen positif kepada pemuda ini. Ramai kagum dalam keadaan seperti itu dia masih tenang dan dapat menghiburkan orang ramai.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain