suria

Baru 5 minit ‘test drive’ Lamborghini harga hampir RM1 juta, YouTuber terlopong tengok Axia tiba-tiba berpusing sebelah kereta

(gambar kiri) Alim (kiri) dan Syam Vlog dalam perjalanan ke Glenmarie ketika kejadian sebuah kereta Axia berpusing (gambar kanan).

SEORANG pemuda yang teruja sedang memandu kereta mewah Lamborghini baharu terkejut berdepan insiden yang tidak disangka-sangka.

"Member baru dapat Lamborghini nak balik rumah. Tengok apa jadi dekat hujung video," demikian ciapan di akaun Twitter @Khairul_35 sehingga diulang kicau lebih 8,000 kali.

Di akhir video dapat dilihat seorang lelaki memandu kereta di sebuah jejambat, dan secara tiba-tiba di luar tingkap kelihatan sebuah kereta Perodua Axia di lorong kanan sedang berpusing.

ARTIKEL BERKAITAN: Mercedes terangkat dihentam Viva, budak perempuan tunjuk samseng keluar kereta tepuk bonet - "Macam gangster walhal bapa dia memandu tak betul"

ARTIKEL BERKAITAN: Berdesup sampai berasap! Ramai 'terpegun' tengok Myvi masih mampu pecut selepas 'meluncur' atas pembahagi jalan

Bercakap kepada mStar, individu yang membuat rakaman itu berkata, klip video yang tular itu hanyalah sebahagian daripada video penuh berdurasi kira-kira 11 minit.



Dalam perjalanan untuk menghantar kereta kepada pelanggan. sumber instagram fifimayzam

Hanya mahu dikenali sebagai Alim Afifi, katanya, insiden itu berlaku baru-baru ini ketika dia dan rakannya dalam perjalanan dari Bandar Sunway di Subang Jaya ke Glenmarie di Shah Alam, Selangor.

"Saya bersama seorang YouTuber, Syam Vlog yang memandu kereta, dari kedai kereta buat coating ke lokasi untuk membuat penggambaran video.

"Perjalanan baru lima minit dari kedai di Bandar Sunway, tiba-tiba muncul sebuah kereta Axia di lorong sebelah dekat selekoh sebelum berpusing," katanya kepada mStar.

Alim bagaimanapun menjelaskan bahawa Lamborghini yang dinaiki mereka bukanlah kepunyaannya, juga bukan milik Syam yang memandu kereta mewah itu pada hari kejadian.

Sebaliknya, pemuda berusia 25 tahun itu berkata, kereta model Gallardo buatan 2012 itu adalah milik pelanggannya yang tinggal di Shah Alam.



Kereta Lamborghini yang dibeli pelanggan berharga hampir RM1 juta.

"Saya adalah ejen jualan kereta yang nak hantar Lamborghini tu selepas buat coating. Dalam perjalanan nak hantar kereta kepada pemilik, kami singgah dahulu untuk rakam video.

"Saya telah meminta kebenaran daripada pelanggan untuk buat rakaman sebelum menghantar kereta tersebut," katanya yang berkhidmat sebagai ejen jualan kereta sejak empat tahun lalu.

Tak pasti kenapa Axia tu berpusing, tapi saya lihat dari jauh yang kereta tu kemudian berhenti dalam keadaan terkawal.

ALIM AFIFI

Alim yang berasal dari Terengganu turut menjelaskan bahawa kereta mewah berkenaan tidak dipandu laju, tetapi dalam kelajuan 60 kilometer sejam (km/j) sahaja.

"Kami tak pasti kenapa kereta Axia tu berpusing, tapi saya dapat lihat dari jauh yang kereta tu kemudian berhenti dalam keadaan terkawal.

"Sebab itulah kami tak berhenti dan meneruskan perjalanan. Mungkin juga sebab keadaan jalan yang licin ketika itu, tapi sebab apa ia berpusing, kami tak pasti," katanya.



Alim merupakan ejen jualan kereta sejak empat tahun lalu. -foto ihsan Alim Afifi

Mengenai rakaman yang menyebut YouTuber tersebut sebagai pemilik kereta mewah itu, Alim berkata, ia dibuat suka-suka untuk dikongsikan di laman sosial, tetapi menerusi video penuh penjelasan bahawa ia milik orang lain telah dibuat.

"Sebab itulah dalam video tu dengar kami bergurau, buat lawak dan ketawa. Jadi, bila kereta di sebelah pusing tu tiba-tiba terkejut, rasa kelakar pun ada.

"Mujur kereta Axia tu dalam keadaan terkawal dan tiada kemalangan yang berlaku. Apa yang kami fikir juga adalah Lamborghini tu kereta orang, bukan kereta kami.

"Nasib masa Axia tu berpusing tak kena pada Lamborghini. Kalau kena, habislah. Mahal kereta tu," ujarnya secara berseloroh.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!