suria

Kahwin kali ke-2 niat nak jaga suami OKU, rupa-rupanya diri sendiri sakit kanser! Semangat wanita ini di TikTok dikagumi

Hani menghidap kanser rahim sejak 2019, dan kini penyakitnya itu di tahap tiga.

BERDEPAN ujian demi ujian dalam kehidupan termasuklah menerima hakikat diri sendiri menghidap kanser bukanlah sesuatu yang mudah.

Tetapi inilah yang terpaksa dihadapi seorang wanita yang gagal dalam perkahwinan pertamanya dan kemudian disahkan menghidap kanser ketika dia bangkit memulakan hidup baharu dengan lelaki kedua yang dikahwininya.

Wanita berkenaan, Noor Hapizah Hani Mohamad Yusuf disahkan menghidap kanser Endometrial (kanser lapisan rahim) tahap satu pada 2019, kira-kira setahun selepas dia mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan lelaki Orang Kurang Upaya (OKU).

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya rasa teruk terima duit derma" - Gadis hidap kanser limfoma rayu bantuan, beli 'naskhah cinta'

ARTIKEL BERKAITAN: Dah 24 kali buat kemoterapi, calon SPM diberitahu kanser masuk tahap 4 selepas 3 hari kembali ke sekolah - Dia menangis salahkan diri sendiri

Kisah tragis Noor Hapizah Hani mendapat perhatian apabila video TikTok yang menonjolkan semangat dan sikap positifnya ketika bergelut melawan penyakit kanser tular di media sosial.



Tular di aplikasi Tiktok, Hani masih positif walaupun derita kanser rahim.

Bercerita lebih lanjut kepada mStar, wanita berusia 38 tahun ini berkata dia amat kecewa apabila mendapat tahu dirinya menghidap kanser kerana tujuan dia berkahwin adalah untuk menjaga suaminya, Mohd Shahriman Anuar, 40, yang buta mata sebelah kanan.

"Masa buat keputusan nak kahwin kali kedua, memang niat saya nak jaga suami. Saya terima dia dengan hati terbuka, tapi lain pula jadinya selepas kahwin.

"Sebaliknya sekarang dia yang bertanggungjawab jaga saya, tak pernah berhenti bagi kata-kata semangat, sedih pula rasa hati ni tengok dia," katanya yang kini menetap di Felda Chuping, Perlis.



Hani (kiri) bersama suaminya, Mohd Shahriman.

Jelasnya, penyakit kansernya kini berada di tahap 3 dan dia sudah menjalani banyak rawatan termasuklah 25 kali rawatan radioterapi, satu kali kimoterapi, dua kali brakiterapi dan paling menyedihkan terpaksa menjalani pembedahan buang rahim.

“Tipulah masa dapat tahu saya menghidap kanser tu saya tak down, terduduk saya! Diam dan tak mampu kata apa-apa. Suami yang banyak tanya doktor mengenai kondisi saya, rawatan yang diperlukan dan sebagainya.

Saya nak buat semua benda yang positif sahaja. Mana tahu orang lain yang sama nasib dengan saya pun akan bangkit jadi kuat

NOOR HAPIZAH HANI

”Banyak rawatan saya jalani, saya reda dan jadi lebih bersemangat dengan adanya orang sekeliling saya seperti suami dan ahli keluarga dan orang lain.

”Paling sedih bila saya kena buang rahim dan ditakdirkan tidak akan ada zuriat," katanya.



Suami Hani merupakan pemegang kad OKU.

Mengenai video comel dan ceria di TikTok yang mendapat perhatian ramai kerana semangat yang ditunjukkan, wanita dengan berat mencecah 140kg ini berkata dia mahu menjalani kehidupan yang positif.

"Saya langsung tak sangka video tu akan viral, saya tak mahu diselubungi rasa sedih sepanjang hari. Kalau asyik sedih, sel-sel dalam badan pun nanti main peranan.

"Sementara ada masa ni, saya hiburkan hati, Saya nak buat semua benda yang positif sahaja. Mana tahu orang lain yang sama nasib dengan saya pun akan bangkit jadi kuat, ” katanya.

Wanita ini juga sempat berterima kasih kepada pihak yang banyak membantunya sepanjang dia menjalani rawatan kanser sehingga sekarang.

”Saya bersyukur diuji sebegini, Allah uji sebab Dia sayang. Mungkin dulu saya tak sakit saya lupa pada Allah. Bila sakit baru minta pertolongan, banyak berdoa dan berserah kepada-Nya, ” katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kanser, suami, OKU, TikTok, kimoterapi,

Artikel Lain