suria

Kecoh! Disimbah air, sampai jatuh kerusi... usahawan asyik reviu produk didakwa guna ayat lucah bikin pelanggan restoran panas – “Dua-dua ada salah, ada betul”

Seorang usahawan yang asyik membuat FB Live disimbah dengan air sirap oleh seorang pelanggan lain, di sebuah restoran. Sumber Facebook Dato Seri Eein

PANAS! Media sosial kembali hangat dengan penularan video seorang usahawan yang didakwa disimbah air sirap ketika membuat reviu produk di sebuah restoran.

Menerusi sebuah video penstriman secara langsung di Facebook (FB Live), seorang usahawan lelaki lantang sedang asyik mempromosikan produk suplemen sambil menikmati makanan.

Turut kedengaran suara seorang lelaki dipercayai pelanggan lain di restoran tersebut beberapa kali menegur usahawan tersebut supaya menghormati pelanggan yang sedang makan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 10,000 followers saksi influencer dihalau ketika buat reviu di restoran popular Melaka, pertama kali dimalukan sepanjang 14 tahun bisnes - "PKP tak boleh lama-lama"

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas dihalau di restoran popular Melaka, video body shaming pula bikin panas... influencer mohon maaf seikhlas hati - "Salah tetap salah"

Drama simbahan air sirap seperti cat merah tercetus sejurus usahawan itu mengeluarkan kata-kata kesat sebelum terjatuh dari kerusi apabila bajunya ditarik oleh pelanggan yang berang itu.



Keadaan usahawan selepas insiden disimbah air. Foto Facebook Dato Seri Eein

Bercakap kepada mStar, usahawan berkenaan, Muhammad Solihin Abdullah berkata, insiden berlaku di sebuah restoran di Shah Alam, Selangor pada petang Jumaat.

Pemuda berusia 21 tahun itu memberitahu, dia telah meminta izin daripada pemilik restoran berkenaan untuk melakukan FB Live bagi mempromosikan produknya.

"Saya dah minta izin daripada owner dan dia kata okay. Cara saya buat live memang lantang bersuara dan itulah cara saya nak tarik perhatian viewers.

"Tapi bunyi bising kereta dan motosikal pun sama-sama kuat sebab restoran tu terletak betul-betul depan jalan besar. Jadi, saya kena tinggikan lagi suara," katanya kepada mStar sambil menambah insiden berlaku selepas 30 minit FB Live bermula.

Lebih dikenali sebagai Eein, pemuda berasal dari Muar, Johor itu mengakui kelantangannya ketika FB Live mendorong kepada rasa tidak puas hati seorang pelanggan lelaki.

"Kutukan netizen masa buat FB Live membuatkan saya panas hati. Cara pelanggan di meja hadapan menegur pula menambah panas saya sehingga terkeluar kata-kata kesat.

"Saya tahu dia ada tegur beberapa kali, tapi tak sepatutnya dia bertindak kasar sampai simbah air pada saya dan tarik baju hingga terjatuh dari kerusi.

"Boleh je dia datang elok-elok ke meja kami dan tegur secara baik. Bukannya bertindak kasar. Alhamdulillah tiada kecederaan dalam kejadian tu," katanya sambil menambah dia bersama abangnya ketika makan di restoran tersebut.



Rakaman CCTV di restoran berkenaan. Sumber Facebook Nasi Daging Sempoi

Eein yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik itu bagaimanpun kesal dengan tindakan yang dilakukan oleh pelanggan berkenaan.

"Sepanjang saya buat FB Live selama tiga tahun, inilah pertama kali saya disimbah air dan diperlakukan secara kasar. Owner kedai pun okay, tak ada bising pun," katanya yang tidak teragak-agak membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Cara saya buat live memang lantang bersuara. Tapi tak sepatutnya dia bertindak kasar

EEIN

Sementara itu, seorang pemuda yang mendakwa dirinya sebagai pelanggan yang menyimbah air sirap dalam kejadian tersebut turut tampil memberikan penjelasan.

"Dia nak buat live aku tak marah. Tapi volume kau tu perlahan la sikit, kan ada kat kedai makan. Sakit telinga... orang datang nak makan, bukannya nak dengar kau punya live.

"Kau melucah (kata-kata kesat) kat kedai makan, kau nak buat live jual produk kau, jadi tak perlu nak melucah-lucah kat kedai makan dengan nada tinggi," kata pemuda berkenaan menerusi satu video dimuat naik di halaman Facebooknya.

Dalam pada itu, pelanggan yang dikenali sebagai Ridz itu membuat permohonan maaf kepada pemilik restoran di atas kekecohan yang berlaku.

"Saya Ridz ingin mohon maaf kepada owner kedai makan ini, jika ada kerosakan barang di kedai boleh hubungi saya, terima kasih," tambahnya.



Eeein pertama kali mengalami kejadian buruk sepanjang membuat FB Live sejak tiga tahun lalu.

Pemilik restoran di Seksyen 30, Shah Alam itu ketika dihubungi mStar mengakui turut terpalit dengan kecaman netizen gara-gara membuat rakaman berhubung insiden tersebut.

Pengusaha berkenaan, Honeysa Husna Hamid berkata, dia membuat rakaman tersebut hanya selepas menyedari kedua-dua pelanggan tersebut bertengkar di restorannya.

"Yang buat FB Live tu memang minta izin dengan saya terlebih dahulu. Saya tak ada masalah dia nak buat FB Live, cuma saya mula rakam bila dah nampak 'bunga-bunga' pergaduhan.

"Walaupun ada CCTV (kamera litar tertutup), tapi tak ada suara dan saya tak berani nak datang dekat ketika itu. Rakaman ini ada suara jadi kalau ada apa-apa berlaku, berdarah ke apa, saya ada bahan bukti," ujar wanita berusia 30 tahun itu.

Ibu kepada tiga anak itu mengakui terkejut dengan kejadian yang berlaku secara tiba-tiba.

"Bagi saya dua-dua ada salah ada betulnya. Yang usahawan tu dah minta izin buat live tapi mungkin suaranya yang kuat hingga ganggu pelanggan-pelanggan lain.

"Pelanggan yang simbah air tu pula mungkin ada cara yang lebih baik untuk menegur daripada bertindak kasar seperti itu. Kedua-duanya adalah pelanggan saya, dan mereka seharusnya menghormati orang lain di dalam restoran," katanya yang membuka restoran itu sejak dua tahun lalu.

Namun, timbul persoalan mengenai kejadian yang berlaku, sama ada ia sekadar lakonan semata-mata atau tidak hanya mereka yang terlibat mengetahui perkara sebenar.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain