suria

Pakcik ini serius orangnya! Tapi anak, menantu berjaya buat dirinya senyum selepas insiden telefon hilang

Zainal Abidin Mohd Zain, 63, tersenyum gembira selepas menerima sebuah telefon pintar pemberian anak dan menantunya.

TIADA apa yang lebih menggembirakan seorang anak selain melihat senyuman terukir pada wajah ibu dan bapa mereka.

Terbaharu, tular video di Twitter memaparkan seorang warga emas berusia 63 tahun yang teruja setelah diberi kejutan sebuah telefon pintar oleh anak dan menantunya.

Menurut Zainatun Adilah, 31, kejutan itu dirancang selepas telefon milik bapanya, Zainal Abidin Mohd Zain hilang sewaktu berniaga sekitar Julai lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tahan sebak tak nak spoil detik gembira sekeluarga... riak wajah peniaga ikan buktinya, kejutan hadiah telefon pintar tambah seri hari lahir ke-53!

ARTIKEL BERKAITAN: “Dah bawa orang rumah ronda ke Ipoh jalan-jalan” - Anak bagi peluang bapa ‘dating’ dengan ibu naik kereta baharu

"Sebenarnya ayah saya seorang pemandu Grab, dulu dia bawa teksi. Tapi kami suruh ayah berhenti sejak awal Perintah kawalan Pergerakan (PKP) hari tu, risau risiko kesihatan.

"Biasalah orang tua, tak suka duduk rumah. Dia buat Grab secara suka-suka sahaja. Sekarang ayah tolong abang saya berniaga nasi kukus.

"Telefon dia tertinggal masa berniaga hari tu. Ayah ada survey untuk beli telefon baharu, kami tahu dia nak beli tapi dia tak cakap pada kami," ujarnya kepada mStar.

Tun dan suaminya sepakat memberi hadiah telefon pintar buat warga emas itu pada Ogos lalu.

Mesra disapa Tun, dia dan suami, Amir Mukhris kemudiannya berpakat membelikan peranti itu sebelum disampaikan semasa perjumpaan keluarga di kediaman ibu bapanya di Sungai Buloh, Selangor pada pertengahan Ogos lalu.

"Suami saya kata dia nak belanja. Jadi kami beli dan hadiahkan masa family gathering. Majlis tu juga untuk sambut hari lahir suami saya pada 9 Ogos.

"Kiranya, orang lain punya brithday tapi ayah yang dapat hadiah. Kami gembira tengok ayah tersenyum sebab dia sebenarnya jarang senyum, ayah seorang yang serius.

Saya sekadar nak kongsi kegembiraan dan berharap ia boleh beri inspirasi pada orang lain juga.

ZAINATUN ADILAH

"Sebab itulah kami kongsi video di Twitter, sekadar nak kongsi kegembiraan kami tengok ayah bahagia," ujarnya yang bertugas sebagai pengurus sebuah syarikat penapis air di ibu negara.

Kata Tun yang menetap di Sentul, Kuala Lumpur, dia sama sekali tidak menyangka video yang dikongsi di Twitter akan menjadi tular.

Foto mereka sekeluarga sewaktu acara makan-makan di Sungai Buloh, Ogos lalu.

Malah katanya, dia mahu video itu menjadi inspirasi kepada individu lain agar tak lokek berbakti kepada orang tua memandangkan ia satu tuntutan dalam agama.

"InsyaAllah, makin banyak bagi pada ibu bapa, makin murah rezeki kita.

"Saya pun tak sangka video tu akan viral. Serba salah pula bila ada yang komen, kata teringat pada arwah ayah mereka.

Tun bersama suaminya, Amir Mukhris.

"Tapi saya sekadar nak kongsi kegembiraan dan berharap ia boleh beri inspirasi pada orang lain juga," katanya lagi.

Selain bapanya, Tun juga ada menghadiahkan sebuah telefon pintar baharu buat ibunya pada Jun lalu.

Sehingga kini, video yang dikongsi menerusi Twitter miliknya menerima 70,000 tontonan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain