suria

Isu Mira Filzah hangat di media sosial, ‘view’ dalam tren lebih harmoni! Aunty India relaks je tolong wanita Melayu pakai sari - “Dia patah balik cari saya dengan motor”

Kina dibantu oleh seorang wanita India untuk memperbetulkan sari yang dipakainya.

MEDIA sosial kecoh pada Khamis apabila timbul kecaman ke atas pelakon, Mira Filzah yang menggayakan sari, pakaian tradisional kaum India.

Namun jika disoroti sejak dahulu sehingga kini, pemakaian pakaian tradisional kaum lain bukanlah satu perkara yang asing di Malaysia.

Malah, bukan sesuatu yang menghairankan jika ada wanita Cina memakai baju kurung, wanita Melayu menggayakan cheongsam dan sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Deepavali datang lagi, jom cuba tip lilit sari!

ARTIKEL BERKAITAN: Mira Filzah minta maaf dituduh eksploitasi pakaian tradisional India kaut untung - “Saya sangat hormati dan mencintai budaya anda”

Terbaharu, foto seorang aunty India membantu wanita Melayu memakai sari di dalam tren KTM Komuter menjadi tular di media sosial.

Menurut Siti Sakinahatikah Jumaat, 21, dia pada waktu itu dalam perjalanan ke Batu Caves, Selangor untuk membuat rakaman video Merdeka bersama tiga lagi rakannya.

"Sebelum menaiki tren, saya dah pergi ke sebuah kedai sari di KL Sentral dan minta seorang aunty India untuk pakaikan pada saya.

"Masa dalam tren, seorang lagi aunty India nampak saya pakai sari dan mahu tolong betulkan sari saya.

Kina turut bertukar nombor telefon dengan wanita ini sebelum dihadiahkan tujuh pasang sari pada hari sama.

"Dia tanya, saya kumpul sari ke? Saya cakap ya. Kemudiannya kami bertukar nombor telefon.

"Masa saya dah sampai Batu Caves, dia datang semula menaiki motosikal, bawa satu beg berisi tujuh helai sari untuk diberikan kepada saya," ujarnya kepada mStar.

Mesra disapa Kina, dia mengakui terharu dengan sikap wanita itu yang bermurah hati untuk menghadiahkan sari kepadanya.

"Dia sanggup patah balik cari saya dengan motor selepas kami berjumpa dalam tren. Kata aunty tu, dia menetap di Selayang.

Apabila ada pihak yang timbulkan isu negatif, kita lawan balik dengan hal positif.

SITI SAKINAHATIKAH JUMAAT

"Saya sebenarnya dah berjinak-jinak pakai sari masa zaman diploma," ujar penuntut Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) itu.

Dalam pada itu, Kina berkata dia langsung tidak menyedari isu sari melibatkan Mira Filzah sedang hangat diperkatakan di Twitter sewaktu dia membuat posting itu.

Malah kata penuntut bidang Pengurusan Perniagaan dari Pasir Gudang, Johor itu, dia juga tidak melihat ada yang salah dalam isu berkenaan.

Kina berasal dari Pasir Gudang, Johor.

"Saya sebenarnya masa tu tak tahu pun pasal isu Mira Filzah. Memang kebetulan. Pada hari saya nak ke Batu Caves pun, ada beberapa orang India tegur bila nampak saya pakai sari, mereka kata cantik.

"Saya rasa OK je pasal isu ni. Masa saya nak ke sana pun ada orang India pakai baju kurung. Itu menunjukkan keutuhan kaum di Malaysia.

"Apabila ada pihak yang timbulkan isu negatif, kita lawan balik dengan hal positif," ujarnya lagi.

Kina sewaktu rakaman video Merdeka di Batu Caves bersama rakan-rakannya.

Sehingga kini, posting Kina menerima lebih 9,500 ulang kicau (Retweet).

Bercerita mengenai rakaman video di Batu Caves, Kina berkata ia merupakan kandungan untuk media sosial miliknya sahaja dan belum lagi selesai diproses untuk dipertontonkan kepada umum.

Jelasnya lagi, dia sememangnya suka untuk menghasilkan video dengan mesej bermanfaat kepada masyarakat.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain