suria

Deepavali datang lagi, jom cuba tip lilit sari!

Tenaga pengajar Roova Lijuan (kiri) mengadakan demonstrasi pemakaian sari bersama peserta-peserta bukan India di Pusat Wanita Berdaya (PWB) Kampung Tunku, Petaling Jaya baru-baru ini. Foto BERNAMA

SETIAP kali melihat wanita India memakai sari ketika sambutan Deepavali, suri rumah Chai Yen Lin, sering memasang angan-angan untuk mengenakan pakaian tradisional itu suatu hari nanti.

Baginya, mengenakan sari dapat memberi kelainan pada penampilan diri, selain dapat mengenali budaya masyarakat kaum India secara lebih dekat.

Tertarik dengan keanggunan dan keunikan tenunan fabrik serta corak sari yang berwarna-warni, wanita berusia 41 tahun itu kemudiannya membeli satu set lengkap dalam talian beberapa tahun lepas.

ARTIKEL BERKAITAN: Rancang perjalanan cuti Deepavali anda bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas 

ARTIKEL BERKAITAN: Sempena Deepavali, apa kata cuba buat sendiri muruku 

Beliau berharap dapat menggayakannya bukan sahaja ketika menghadiri upacara perkahwinan rakan India tetapi juga apabila pergi ke rumah terbuka Deepavali.

Namun, set lengkap sari itu nampaknya terpaksa disimpan di dalam almari kerana Chai tidak dapat menguasai kemahiran pemakaian sari dengan betul meskipun sudah berkali-kali mempelajarinya menerusi aplikasi Youtube.

Setelah sekian lama, Chai begitu teruja kerana akhirnya sari yang sudah lama dibeli itu akhirnya dapat pergayakan setelah mendapat tunjuk ajar cara pemakaian sari yang betul menerusi 'Bengkel Sari Deepavali yang dihadirinya baru-baru ini.

Sari kegemaran pelbagai kaum

Perayaan Deepavali yang akan disambut oleh masyarakat India pada 27 Oktober ini seperti tidak lengkap dan meriah tanpa sari, pakaian tradisional wanita India yang sememangnya mempunyai pelbagai rekaan menarik serta kombinasi warna yang menambah lagi kecantikannya.

Chai Yen Ling teruja dengan pakaian sari yang telah siap dililit setelah mendapat tunjuk ajar daripada tenaga pengajar.

Bagi tujuan itu, Pusat Wanita Berdaya (PWB) Pusat Khidmat Penduduk Kampung Tunku tampil menganjurkan bengkel pemakaian sari secara percuma baru-baru ini. Seramai 26 orang peserta terdiri daripada pelbagai bangsa dan latar belakang menyertai bengkel ini.

Selain mengadakan demonstrasi pemakaian sari dengan betul, bengkel itu juga turut berkongsi panduan untuk tampak lebih elegan dalam menggayakan busana tradisional ini bukan sahaja ketika sambutan Deepavali atau pun ketika menghadiri upacara rasmi bagi kaum India.

Menurut tenaga pengajarnya, Roova Li Juan, cara pemakaian sari yang asli masih lagi popular walaupun peredaran fesyen semakin berkembang mengikut zaman.

"Di Malaysia, sari tradisional bukan sahaja sebagai busana kegemaran dalam kalangan masyarakat India tetapi juga kaum bukan India, malah wanita muslim berhijab juga turut menyukainya.

"Lilitan kain sari sepanjang lima hingga enam meter yang ditenun dengan kilauan benang emas, batu hiasan menarik melingkari fabrik dan berwarna-warni melitupi seluruh tubuh bukan sahaja menampakkan keindahan pakaian itu, tetapi turut menjadikan pemakainya tampak lebih berseri dan menambahkan keayuan mereka," katanya kepada Bernama.

Masyarakat India mula membuat persiapan dengan membeli persalinan sari baharu untuk menyambut perayaan Deepavali.

Menurut Roova, ramai yang beranggapan pemakaian sari itu sangat rumit dan kompleks kerana perlu menguasai kemahiran melilit kain sepanjang lebih 5 meter itu, justeru banyak sari 'siap untuk dipakai' dijual di pasaran.

Namun, cara pemakaiannya sebenarnya sangat mudah jika kena pada caranya. Terdapat juga sari 'siap untuk dipakai' tetapi kebiasaannya saiz tidak sekata dan tidak selesa untuk dipakai kerana sudah dijahit dengan bentuk-bentuk tertentu," katanya.

Beliau berkata, terdapat pelbagai jenis kain sari mengikut negeri-negeri di India, antaranya Kanjeevaram Silk dari Tamil Nadu, Kalamkari dari Srikalahasthi, Kasavu dari Kerala, Sambalpuri dari Odisha, Paithani dari Maharashtra, Bandhani dari Gujarat, serta Muga dari Assam.

"Daripada pelbagai jenis kain sari yang mempunyai nama-namanya tersendiri mengikut tempat, kebanyakan sari di Malaysia adalah jenis kapas dan sutera kerana keadaan cuaca yang panas dan memudahkan pergerakan si pemakai untuk ke majlis-majlis rasmi dan upacara keagamaan," katanya.

Beliau menambah, sari biasanya dipakai di atas kain dalam atau petticoat dengan blaus digelarkan choli atau ravukai yang akan membentukkan pakaian di atas.

"Choli biasanya berukuran pendek dan mendedahkan perut, namun sari boleh juga digayakan dengan blaus panjang ataupun kemeja-T, bergantung kepada keselesaan si pemakai," katanya.

Tip pakai sari

Roova berkata lazimnya, sari mempunyai ukuran panjang lima hingga enam meter dan saiz panjang yang standard ialah berukuran 5.5 meter.

"Ketika memakai sari, disarankan memakai kain dalam yang diperbuat daripada jenis kapas. Ia mestilah diikat dengan ketat supaya lilitan sari dapat bertahan lama serta tidak berasa panas apabila bergerak.

"Hujung sari atau ‘pallu’ diikat tidak boleh terlalu panjang atau terlalu pendek dan sebaik-baiknya ia haruslah panjang sedikit daripada paras lutut.

"Sekiranya memakai kasut tumit tinggi, pakai kasut tersebut terlebih dahulu dan barulah ikat sari untuk menentukan panjangnya.

"Kaki seharusnya tidak boleh dilihat setelah sari dipakai serta lipatannya di bahagian tengah pusat perut biasanya antara lima hingga tujuh lipatan," katanya.

Lilitan kain sari sepanjang lima hingga enam meter yang ditenun dengan kilauan benang emas, batu hiasan menarik melingkari fabrik dan berwarna-warni melitupi seluruh tubuh bukan sahaja menampakkan keindahan pakaian itu, tetapi turut menjadikan pemakainya tampak lebih berseri dan menambahkan keayuan mereka

ROOVA LI JUAN

TENAGA PENGAJAR

Katanya, sari yang dipakai akan dililit pada badan dengan bahagian hujungnya yang bersulam diletak di atas bahu kiri supaya dapat menyerlahkan keanggunan dan kecantikan sulaman kain itu.

"Kain dalam pula akan dipakai di atas atau di bawah pusat yang berfungsi menyokong kain sari tersebut daripada terlucut. Justeru, bahagian perut dibiarkan terdedah tanpa ditutup oleh kain sari," katanya.

Bagi mereka yang tidak biasa mendedahkan perut ataupun golongan yang perlu menutup aurat, mereka perlu memakai blaus yang panjang serta kain atau seluar getah panjang bagi menutup bahagian perut.

"Kita boleh bebas menggayakan sari dengan pelbagai cara asalkan kreatif. Ada juga dalam kalangan wanita bukan India menggunakan kain sari untuk dijadikan baju kebaya atau pun baju kurung. Nampak sungguh cantik dan menampakkan keharmonian," katanya.

Bengkel sari eratkan siraturahim antara kaum

Roova yang berkacukan Cina-India itu begitu menggemari sulaman dan rekaan sari sehingga mengasaskan jenamanya tersendiri dengan menjual pakaian tradisional itu secara dalam talian.

Malah, beliau turut mengendalikan bengkel dan memberi khidmat nasihat terhadap pemakaian sari tradisional kepada mereka yang berminat.

Bagi yang tidak biasa mendedahkan perut, mereka perlu memakai blaus yang panjang serta kain atau seluar getah panjang bagi menutup bahagian tersebut.

"Apa salahnya kami berkongsi ilmu dan budaya antara satu sama lain, saling mempelajari budaya bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturrahim tetapi dapat juga mewujudkan budaya hormat-menghormati.

"Jika mereka tidak membeli sari dengan saya sekali pun, saya turut akan memberi khidmat nasihat mengenai pemakaian sari kepada mereka kerana saya percaya rezeki pasti akan datang jika kita menyumbang dan memberi tanpa mengharapkan balasan," katanya.

Sementara itu, penyelia PWB Pusat Khidmat Penduduk Kampung Tunku, Nalina Nair berkata bengkel pemakaian sari yang memasuki tahun kedua ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan terutamanya wanita bukan India di kawasan itu.

"Tahun lepas, kami mengadakannya buat kali pertama dan ia turut mendapat sambutan daripada peserta berhijab. Ia bukan sahaja sebagai platform untuk memperkenalkan pakaian tradisional masyarakat India tetapi juga dapat merapatkan jurang antara kaum," katanya.

Menurut Nalina, selain bengkel pemakaian sari, pihaknya turut mengadakan pelbagai aktiviti bagi memperkasakan kaum wanita di kawasan Kampung Tunku.

"Antaranya, kelas seni mempertahankan diri seperti tae kwan do, kempen kesedaran kanser payu dara, saringan kesihatan serta seminar keusahawanan wanita juga turut diadakan secara percuma," katanya.

Deepavali, sari

Artikel Lain