suria

Manjakan diri di rumah, cipta suasana ala spa dengan hanya 5 langkah mudah

Dengan mencipta suasana spa di rumah, anda bukan saja menjimatkan perbelanjaan malah bebas melakukan rawatan mengikut cita rasa sendiri.

RUTIN bekerja selama lima hari berturut-turut bukan sahaja membuatkan badan lesu dan tidak bermaya, malah otak juga turut sama keletihan dek kerana terlalu banyak memikirkan hal-hal di pejabat mahupun peribadi.

Solusi yang terbaik bagi situasi ini tentulah memanjakan diri dan menenangkan fikiran di spa bagi mengembalikan semula kesan positif terhadap tubuh, kesihatan dan mental.

ARTIKEL BERKAITAN: Kuku kasar dan mudah pecah? Jom cek kesalahan yang biasa dilakukan ketika potong kuku 

ARTIKEL BERKAITAN: Ada 7 rahsia ajaib ais untuk muka... bukan sahaja jimat, juga boleh cegah penuaan! 

Pada masa kini, terdapat pelbagai pilihan spa yang boleh dikunjungi, namun kos yang perlu dibelanjakan kadang-kadang membuatkan kita berfikir dua kali untuk melakukannya.

Usah pening kepala, anda masih boleh memanjakan diri dan menenangkan fikiran dengan cara yang lebih mudah iaitu menikmati suasana spa di rumah saja.

Selain dapat menjimatkan perbelanjaan, anda juga bebas melakukan rawatan mengikut cita rasa tersendiri. Ingin tahu bagaimana? Jom lihat tip di bawah.

1) Cipta suasana spa

Tidak semestinya anda perlu mempunyai bilik atau ruangan khas untuk rawatan spa. Cukup sekadar menggunakan bilik tidur yang bersih dan selesa. 

Bagi mencipta suasana ala spa, anda boleh menyalakan lilin wangi atau lilin aromaterapi untuk membangkitkan mood. Laraskan cahaya supaya bilik tidak terlalu terang. Tambahkan alunan muzik mengikut kegemaran anda dengan nada yang santai.

Bagi mencipta suasana ala spa, anda boleh menyalakan lilin wangi atau lilin aromaterapi untuk membangkitkan mood.

2) Mulakan dengan rawatan wajah

Bersihkan wajah anda dengan pencuci muka. Kemudian, rendamkan tuala wajah di dalam air suam, bilas dan letakkan di atas muka. Biarkan wajah menyerap wap selama lima minit. Langkah ini bertujuan membuka liang dan mengeluarkan kotoran dengan berkesan. 

Seterusnya sapukan masker pada wajah dan urut kulit wajah selama beberapa saat. Dalam masa yang sama, jangan lupa letakkan kepingan timun sebagai penutup mata supaya kawasan mata lebih segar. Biarkan masker selama 15 hingga 20 minit sebelum bilas wajah dengan air bersih.

Sapuan masker pada wajah bertujuan menanggalkan kotoran dan sel kulit mati. 

3) Urutan

Selepas melakukan rawatan wajah, lanjutkan dengan mengurut badan secara perlahan-lahan. Bagi langkah ini, anda boleh meminta bantuan daripada saudara-mara atau ahli keluarga untuk membantu dalam proses urut. 

Namun, melakukannya sendiri juga tidak ada masalah namun kepuasannya sedikit minima.Tumpukan untuk mengurut otot yang sakit selepas bekerja keras sepanjang masa seperti kaki, leher dan belakang badan. Gunakan minyak urut khas yang boleh didapati di mana-mana farmasi atau kedai penjagaan tubuh dan wajah.

Terdapat pelbagai pilihan minyak untuk urutan badan yang boleh didapati di pasaran.

4) Skrub badan

Skrub badan bukan saja membuatkan kulit bersih dan licin, malah ia menanggalkan sel kulit mati.  Bukan itu sahaja, ia boleh meningkatkan lagi kadar kelancaran peredaran darah. 

Pada masa kini, terdapat pelbagai pilihan skrub badan yang boleh didapati di pasaran. Jika anda belum pernah melakukan skrub badan, pastikan anda uji dahulu pada bahagian kecil kulit untuk melihat jika anda memiliki tindak balas tidak elok terhadap produk yang digunakan itu. 

Awas, usah kerap melakukannya kerana dikhuatiri merosakkan kulit. Seeloknya, lakukan skrub badan dua kali seminggu.

5) Pelembap

Langkah terakhir, sapukan pelembap pada kulit badan. Proses ini juga merupakan komponen penting untuk mengekalkan kulit yang sihat. Penggunaan pelembap juga bertujuan untuk menambah kandungan air dalam kulit dan menjadikannya licin. Pilih produk pelembab yang sesuai dengan jenis kulit anda. - BEAUTY JOURNAL

spa, aromaterapi, masker

Artikel Lain