suria

Macam umum tarikh raya... pelajar PhD guna 2 kaligrafi persembahkan ucapan buat Tunku Azizah – “Jika diperkenan sanggup baca sajak, pantun live”

Muhd Rizq dengan gaya tersendiri memberi hadiah ucapan dalam bentuk sajak dan pantu buat Tunku Azizah (gambar kecil).

AMAT disenangi ramai, titipan doa dan ucapan rakyat jelata mengiringi ulang tahun keputeraan ke-60 Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Media sosial dibanjiri pula dengan ucapan buat Tunku Azizah yang terkenal dengan sifat ramah dan berjiwa rakyat, mendoakan baginda dipanjangkan umur dan diberkati Allah SWT.

Tidak terkecuali di laman YouTube, seorang pemuda menghadiahkan sebuah sajak yang didedikasikan khas buat Raja Permaisuri Agong.

ARTIKEL BERKAITAN: "I love you mama" - Tengku Jihan titip ucapan sweet sempena hari keputeraan ibunda tersayang, laman sosial dibanjiri kiriman doa buat Raja Permaisuri Agong

ARTIKEL BERKAITAN: Comelnya! Tunku Azizah singgah kedai tepi jalan tanya mi bandung, siap ada permintaan - "Janji tau, ambil nombor telefon dia"

Menerusi teknik skrin hijau (green screen), video tersebut memaparkan pemuda berkenaan berpakaian kot, berlatar belakangkan Istana Negara di Kuala Lumpur.



Muhd Rizq menunjukkan tulisan Cina dan Jawi.

Dia kemudian menulis sajak dalam bahasa Mandarin, manakala pantun dengan bahasa Melayu, menggunakan dua kaligrafi dengan maksud yang sama iatu Cina dan Jawi.

Menariknya, video ucapan yang dipersembahan buat Tunku Azizah itu kelihatan seperti pengumuman tarikh hari raya serta kelas mengajar bahasa dan kaligrafi.



Di akhir ucapan buat Tunku Azizah.

Pemuda berkenaan, Muhd Rizq Abdul Aziz, 33, berkata, dia mengabadikan sajak itu sebagai tanda penghargaan dan perjuangan Raja Permaisuri Agong kesayangan rakyat Malaysia.

"Saya teruja setiap kali menjelang bulan Ogos kerana terdapat tarikh-tarikh penting yang sentiasa dalam ingatan saya, iaitu hari kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos dan hari keputeraan tuanku pada 5 Ogos.

"Ini termasuk hari ulang tahun saya pada 15 Ogos. Setiap kali tiba hari keputeraan tuanku, saya semakin teruja sebab hari lahir saya tidak lama lagi," katanya kepada mStar.

Muhd Rizq yang boleh bertutur dalam empat bahasa termasuk bahasa Mandarin dan bahasa Arab berkata, pembikinan video tersebut mengambil masa kira-kira seminggu



Berlatarkan layar hijau, Muhd Rizq menunjukkan kertas yang ditulis ucapan buat Tunku Azizah sempena ulang tahun keputeraan baginda ke-60. Foto China Press

Menurut peguam yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan tu, hadiah tersebut juga bagi menunjukkan sokongan kepada baginda yang selama ini memperjuangkan tulisan Jawi.

Malah guru bahasa sambilan itu lagi, video berdurasi kira-kira lima minit itu diakhiri dengan sembah ucapan di atas hari keputeraan Tunku Azizah dalam bahasa kebangsaan bahasa Melayu serta Mandarin bagi membawa mesej keharmonian dan perpaduan.

Jika tuanku terima hadiah ini, ia diibaratkan seperti hadiah hari jadi saya yang terbesar

MUHD RIZQ ABDUL AZIZ

"Saya juga buat rakaman dengan memakai baju Melayu ketika membaca pantun itu sebagai tanda kemelayuan dan salah satu budaya dan kaum di Malaysia.

"Sebagai guru bahasa, saya berusaha memartabatkan bahasa Melayu. Saya mengajar bahasa Melayu menggunakan bahasa Arab, mengajar bahasa Arab menggunakan bahasa Melayu, mengajar bahasa Inggeris menggunakan bahasa Melayu, serta mengajar Bahasa Melayu menggunakan bahasa Inggeris," tambahnya.



Muhd Rizq (duduk, tengah) bersama sebahagian pelajarnya bagi kelas bahasa Mandarin.

Secara peribadi, Muhd Rizq menyifatkan Tunku Azizah sebagai seorang raja permaisuri yang merendah diri, berfikiran terbuka dan mementingkan hubungan berbilang kaum.

"Memang sajak dan pantun itu merupakan pemberian hadiah (kertas putih tertera ucapan) buat tuanku. Jika tuanku terima hadiah ini, ia diibaratkan seperti hadiah hari jadi saya yang terbesar.

"Besar harapan saya sekiranya tuanku sudi menerima hadiah ini. Jika diberi peluang untuk menghadap, saya sanggup baca sajak dan pantun itu secara live," ujarnya yang mengikuti pengajian Undang-Undang Perbankan Islam di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, Selangor.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain