Kecut perut lintas roadblock, 4 remaja akhirnya gegar Taman Lagenda Langkawi dengan ‘zapin’ Blackpink – “Sanggup berpeluh tengah panas”

(kiri) Sekumpulan anak muda menari lagu Blackpink dengan rentak moden. (kanan) Mereka membuat rakaman kedua dengan tarian zapin. Foto ihsan Amirul Syafiq Osman

AURA lagu How You Like That nyanyian kumpulan K-Pop, Blackpink menggegarkan Taman Lagenda di Langkawi baru-baru ini.

Menjadi lokasi tumpuan pelancong dalam dan luar negara, ia juga medan sekumpulan anak mudah menonjolkan bakat mereka berlatar belakangkan lagu berkenaan.

Video yang dikongsikan di laman sosial itu menarik perhatian apabila empat remaja itu menari zapin, dalam persalinan baju melayu dan baju kurung merah.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar main gamelan tapi menari lagu Blackpink dipertikai, terlalu agungkan K-Pop,"Pergerakan kami tak over!"

ARTIKEL BERKAITAN: Macam Blackpink! Viral pelajar comel buat 'show' eksklusif di sekolah,"Saya hanya berlatih 2 jam"

Salah seorang daripada mereka, Amirul Syafiq Osman berusia 19 tahun itu berkata, mereka sebenarnya kumpulan penari zapin sejak di sekolah menengah.



Syafiq dan rakan-rakan aktif menari zapin sejak di bangku sekolah.

Mengulas video tersebut, remaja yang lebih mesra disapa Syafiq itu menjelaskan rakaman dibuat bagi menyertai satu pertandingan menari menggunakan lagu terbaharu kumpulan itu.

"Sebelum video tarian zapin itu, kami berempat terlebih dahulu membuat rakaman di lokasi yang sama menggunakan gaya tari yang sama dalam video muzik Blackpink.

"Tapi rentak tari itu tidak sesuai dengan dua rakan perempuan kami, macam kurang sopan kalau menari macam tu. Jadi, kami cadang guna tarian zapin yang kami selalu persembahkan di sekolah," katanya kepada mStar.



Selain di sekolah, mereka turut membuat persembuhan di majlis-majlis di luar sekolah.

Walaupun sudah beberapa tahun menari zapin di sekolah dan majlis-majlis, Syafiq yang berasal dari Ayer Hangat, Langkawi berkata, mereka perlu berlatih selama dua hari kerana mahu memastikan gaya tarian selari dengan rentak single terbaharu Blackpink itu.

"Kami masih pilih step yang sama untuk tarian zapin. Cuma perlu mencari bahagian yang bersesuaian untuk sepadan dengan gaya tarian.

"Lagu tradisional zapin dan lagu K-Pop tak sama rentaknya, jadi kami perlu berhati-hati supaya tak lari tempo," ujar anak kedua daripada tiga beradik itu.

Menurut Syafiq, rakaman video tarian mereka di Taman Lagenda terpaksa dilakukan selepas waktu tengah hari kerana tiada pengunjung ketika itu.



Syafiq mengimbas kembali kejadian lucu semasa menari zapin di Taman Lagenda.

Pelajar Diploma Kewangan dan Perbankan Islam di Politeknik Metro Johor Bahru, di Johor itu menjelaskan bahawa mereka belum bersedia untuk menari zapin dengan lagu Blackpink di khalayak ramai.

"Memanglah kami pernah membuat persembahan depan ramai orang di sekolah dan majlis-majlis, tapi itu lagu tradisional. Menari lagu K-Pop belum pernah lagi, malu kalau orang tengok nanti.

Memanglah kami pernah membuat persembahan depan ramai orang, tapi itu lagu tradisional. Menari lagu K-Pop belum pernah lagi

AMIRUL SYAFIQ OSMAN

"Di kawasan lapang tempat kami menari tu memang menjadi lokasi orang ramai beriadah terutama berbasikal pada waktu petang, sebab tu kami pilih waktu yang tak ada orang.

"Tapi itulah, masa kami menari sekitar pukul 1 dan 2 petang, cuaca tengah panas. Tak nak malu orang tengok, kami sanggup berpeluh menari tengah panas," ujarnya secara berseloroh.



Syafiq (kanan) bersama kumpulan penari dan rakan yang merakamkan persembahan mereka.

Syafiq berkata, dalam perjalanan ke Taman Lagenda pada hari berkenaan, kereta yang dinaiki mereka melalui sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak polis.

"Polis hanya menjalankan pemeriksaan tetapi polis terkejut sebab kami semua pakai baju yang sama, siap tanya nak ke mana dan buat apa.

"Walaupun tak ada buat kesalahan, tapi perasaan cuak tu tetap ada. Rasa berpeluhlah juga masa tu. Masa rakaman pun berpeluh juga sebab cuaca panas kan.

"Setiap kali rakaman selesai atau bersambung, cepat-cepat kami cari tempat berteduh. Bayangkanlah dua tiga kali rakaman juga, dan setiap kali tu juga touch up muka (mekap) sebab berpeluh," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

zapin, Blackpink, Taman Lagenda, Langkawi,

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Harga petrol, diesel naik