suria

Pelajar main gamelan tapi menari lagu Blackpink dipertikai, terlalu agungkan K-Pop, “Pergerakan kami tak over!”

(kiri) Kumpulan Gema Warisan bersama guru mereka selepas persembahan. Foto ihsan Hanis Farzana Mohd Fildaus (kanan) Tangkapan skrin klip video persembahan gamelan yang tular.

APABILA muzik tradisional dan elemen serta tarian K-pop bersatu, ia dilihat sebagai persembahan yang segar, kreatif dan lain daripada lain.

Kecoh sebuah klip video yang tular menunjukkan persembahan gamelan dengan aksi lincah, menggunakan lagu kumpulan K-Pop terkenal, Blackpink, Ddu Du Ddu Du.

ARTIKEL BERKAITAN: Macam Blackpink! Viral pelajar comel buat 'show' eksklusif di sekolah, "Saya hanya berlatih 2 jam"

ARTIKEL BERKAITAN: Penumpang tersembur air liur tengok bomba di belakang kereta, “Ingatkan siren lagu Blackpink”

Ada yang melihat ia sebagai idea bernas untuk memperkenalkan alat muzik tradisional kepada luar negara, tetapi ada juga menganggap ia mencemarkan seni budaya tempatan.

(kiri) Kumpulan K-Pop popular, BTS. Foto AFP (kanan) Kumpulan Blackpink. Foto YG Entertainment.

“Ini adalah idea yang bernas untuk kenalkan alatan-alatan muzik tradisional kepada orang luar Malaysia... Zaman sekarang memang susah nak dengar alunan-alunan yang berbunyi tradisional dalam mana-mana lagu,” komen netizen di laman sosial.

“Seni yang sempurna. Diimprovisasikan dengan baik, gabungan luar biasa tarian dan seni asli dan kontemporari. Suka, suka,” puji seorang netizen.

“Tradisi Melayu bercampur baur dengan budaya barat akibat terlalu ikut trend terkini,” kata seorang netizen yang tidak bersetuju corak persembahan gamelan itu.

“Lebih kepada menari je daripada main gamelan tu,” kritik seorang netizen lain.

Kumpulan Gema Warisan turut memainkan alat muzik dan tarian lagu tradisional Timang Burung.

Klip video yang tular itu bagaimanapun hanyalah sebahagian daripada video penuh persembahan gamelan pada Majlis Apresiasi Budaya di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri (SMKBTP) di Rawang, Selangor, malam Sabtu.

Salah seorang peserta kumpulan yang membuat persembahan gamelan itu, Hanis Farzana Mohd Fildaus berkata, mereka merupakan kumpulan Gema Warisan yang terdiri daripada sembilan pelajar tingkatan tiga dan tingkatan empat, dua daripadanya adalah pelajar lelaki.

Ramai anak muda suka lagu-lagu K-Pop, bila mereka tengok persembahan tu, mereka terus jatuh cinta dengan alat muzik gamelan yang selama ni mereka tak pernah kenal, tak pernah tahu dan tak pernah dengar pun bunyi tu.

HANIS

Remaja berusia 16 tahun itu menjelaskan bahawa persembahan gamelan tersebut terdiri daripada dua bahagian, dimulakan dengan lagu gamelan dahulu, diikuti persembahan kedua menggunakan lagu-lagu K-Pop.

“Persembahan pertama kami adalah tarian tradisional dan bermain alat muzik gamelan menggunakan lagu Timang Burung.

“Selepas itu, barulah kami membuat persembahan kedua... bermain alat muzik gamelan menggunakan lagu kumpulan BTS iaitu Save Me dan Fake Love serta lagu Ddu Du Ddu Du daripada kumpulan Blackpink.

“Persembahan kami sebenarnya panjang dan rakaman dibuat kepada beberapa bahagian. Klip video yang tular itu adalah bahagian akhir persembahan gamelan lagu Blackpink,” katanya kepada mStar.

Semasa menjalani latihan di sekolah.

Sehubungan itu, Hanis yang menyertai kumpulan seni persembahan Gema Warian sejak kira-kira empat tahun lalu menafikan mereka hanya mahu mengagungkan muzik K-Pop sehingga melupakan elemen tradisional.

“Persembahan pertama itu mahu memperkenalkan kepada orang ramai mengenai keindahan muzik gamelan yang semakin pupus dalam kalangan masyarakat hari ini.

“Persembahan kedua menggunakan lagu-lagu BTS dan Blackpink pula bertujuan untuk menarik minat orang ramai untuk terus mendekati dan menyukai alat muzik gamelan,” katanya.

Tambahnya, sebanyak sembilan alat muzik gamelan yang digunakan dalam kedua-dua persembahan tersebut iaitu saron demung, saron baron, saron pekin, gambang, bonang, jedo, gendang, kenong dan gong.

Kumpulan Gema Warisan pernah membuat persembahan gamelan di majlis perkahwinan.

Mengenai persembahan pada malam tersebut, Hanis berkata, mereka berlatih selama dua minggu dari segi penggunaan alat muzik dan tarian, dipantau oleh guru bimbingan, Haslina Rifhan.

“Mengenai tarian semasa persembahan K-Pop pula kami masih berpakaian sopan dan hanya menggunakan gerak tangan, bukannya pergerakan yang 'over',” katanya.

Menurut Hanis, mereka tiada niat untuk mencemarkan alat muzik tradisional itu, sebaliknya akan terus memartabatkannya mengikut peredaran semasa.

“Contohnya, ramai anak muda suka lagu-lagu K-Pop, bila mereka tengok persembahan tu, mereka terus jatuh cinta dengan alat muzik gamelan yang selama ni mereka tak pernah kenal, tak pernah tahu dan tak pernah dengar pun bunyi tu.

“Selain lagu-lagu tradisional, kami turut bercadang untuk membuat persembahan gamelan menggunakan lagu-lagu penyanyi tempatan yang popular pada masa akan datang,” ujar Hanis.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
gamelan, K-pop, BTS, Blackpink, Gema Warisan

Artikel Lain