suria

Apa khabar Faizal? Dah seminggu pulang ke Muar selepas merempat di KL, ramai mahu bantu kerana mesej menyayat hati itu

Kisah Faizal yang merantau dari Muar, Johor dan hidup gelandangan di Kuala Lumpur menerima berita kematian ibunya. Gambar sekadar hiasan Foto BAVANI/ (Gambar kecil) Mesej yang diterima Faizal Foto twitter KecharaSoupK

RAMAI yang sebak apabila mengetahui kisah Faizal yang tular, seorang gelandangan yang merantau dari Muar, Johor ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja dan kemudiannya mendapat berita kematian ibunya. 

Tambah sedih lagi, berita itu diterima beberapa hari selepas ibunya meninggal dunia, kerana ketika itu dia baru berpeluang mengecas telefon bimbitnya disebabkan tiada tempat tinggal tetap.

Sudahlah kehilangan ibu tersayang, matlamat untuk mencari kerja pula tidak kesampaian selepas tiga minggu di ibu kota hinggakan pemuda berusia lewat 20-an hidup merempat bersama gelandangan lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Baru 3 minggu merantau dari Muar ke KL nak cari kerja, pemuda ini dah hidup merempat... Tiba-tiba dapat berita sedih sebaik on telefon

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia dah tak boleh fikir apa dah” - Lelaki ini kongsi kisah tragis berdepan gelandangan kematian ibu selepas 3 minggu merempat tak dapat kerja di KL

Berbekalkan tiket bas dan sedikit duit poket sumbangan badan bukan kerajaan (NGO), Kechara Soup Kitchen, Faizal pulang ke kampung halaman di Muar untuk bersama keluarganya dalam waktu yang sukar.

Berita sedih yang diterima Faizal.

Keperitan dan kesungguhan yang dialami Faizal mula dikongsikan di laman Twitter Kechara Soup Kitchen pada minggu ini mendapat perhatian pelbagai pihak, bukan sekadar bersimpati dengan nasib malangnhya, malah mahu membantu menawarkan kerja.

Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (Mywatch), Datuk Seri R.Sanjeevan merupakan antara individu yang tampil menawarkan bantuan kepada Faizal.

“Mohon DM (mesej secara langsung) saya nombor Faizal. Akan cuba membantunya untuk mendapatkan pekerjaan sebaik sahaja dia kembali ke KL. Doa saya agar roh arwah ibunya tenang di sana,” tulis Sanjeevan.

“Saya boleh tawarkan satu kepadanya. Berharap untuk berhubung dengannya. Semoga tabah, doa kami untuk dia dan keluarganya,” ujar seorang yang merupakan ketua pegawai eksekutif di sebuah syarikat.

“Hi. Mohon maklumkan saya bagaimana untuk berhubung dengan Faizal supaya kami boleh lihat sekiranya kami boleh mendapatkan tempat yang sesuai di syarikat kami,” komen seorang wanita.

Faizal terpaksa hidup merempat di Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan. Gambar sekadar hiasan

Bagaimanapun, tidak banyak yang dikongsikan dalam pertemuan singkat antara Faizal dan Pengarah Operasi Kechara Soup Kitchen, Justin Cheah yang menghantar pemuda itu di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) yang mahu bergegas pulang ke kampung halamannya pada Jumaat minggu lalu.

Di mana dia tinggal, siapa keluarganya mahupun punca ibunya meninggal dunia tidak sempat ditanyakan, termasuk nombor telefonnya.

Justin dari NGO yang membantu golongan gelandangan dan miskin bandar itu turut berharap agar Faizal menghubunginya semula kerana mahu membantunya mencari pekerjaan.

“Kalau dia sanggup datang ke Kuala Lumpur, maksudnya dia mahu mencari peluang di sini. Kasihan dia, tiga minggu tidur di jalanan tapi masih belum dapat kerja,” ujar Justin.

Keperitan hidup Faizal mendapat perhatian banyak pihak termasuk Sanjeevan yang mahu membantu mencari peluang pekerjaan.

Selepas genap seminggu Faizal dikatakan pulang ke kampung halamanya di Muar, dan hingga kini masih tidak diketahui perkembangan pemuda berkenaan.

Berdasarkan semakan mStar dengan pihak polis, tiada laporan mengenai pemuda bernama Faizal keluar dari rumah atau keluarga mencarinya sepanjang tempoh itu.

Perkongsian maklumat mengenai kisah Faizal di media sosial juga tiada perkembangan terbaharu. 

Selain itu, tiada butiran mengenai arwah ibu Faizal juga menyukarkan usaha untuk menjejakinya.

“Izal (panggilan nama Faizal), mak dah kembali ke rahmatullah pagi ni,” menurut kiriman mesej yang dihantar oleh ahli keluarganya bernama Hafiz, hanya satu-satunya petunjuk yang ada.

Faizal atau sesiapa yang mengetahui mengenai Faizal, mohon berhubung dengan mStar di 03-79671388 sambungan 1872/1335 atau emel di [email protected] atau Kechara Soup Kitchen di talian hotline NGO itu di 010-3333260.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain