suria

Isu kononnya adik dihalau keluar sekolah selesai, abang mengaku terlalu emosi akhirnya mohon maaf kepada pengetua

Adik kepada Syafiq menunjukkan laporan polis yang dibuat pada Selasa lalu.

ABANG kepada pelajar tingkatan 5 yang sebelum ini mendakwa adiknya dihalau keluar sekolah tampil memohon maaf secara terbuka.

Menurut Ahmad Isyafiq Mad Desa,32, dia terlalu beremosi dan tidak mendapatkan maklumat terperinci sehingga mencetus polemik dengan pihak sekolah.

"Saya memohon maaf secara terbuka kepada pengetua dan pihak sekolah menengah di Pengkalan Hulu atas tindakan mendakwa kedua-dua pihak terlibat telah menghalau adik saya yang berusia 17 tahun dari sekolah berkenaan.

"Dengan rendah diri memohon maaf kerana mengetahui kejadian sebenar selepas melalui proses siasatan polis yang sekali gus mendedahkan keadaan sebenar kejadian pada pagi Selasa lalu.

"Pengetua dan pihak sekolah telah bertindak mengikut SOP dan tidak menghalau adik saya," demikian akuinya menerusi kenyataan kepada mStar.

Malahan, kata Ahmad Isyafiq, dia berbesar hati kerana guru sekolah berkenaan telah memberi kerja sekolah tambahan untuk memastikan adiknya tidak ketinggalan dalam pelajaran sehingga mendapat kelulusan bersekolah semula daripada PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) Hulu Perak.

"Kejadian ini amat memalukan saya sebagai penjaga kerana bertindak melulu dan menyesal telah memberi persepsi negatif terhadap sekolah dan pengetua," ujarnya yang lebih mesra disapa Syafiq.

Tambah bekas wartawan sebuah akhbar yang telah menamatkan operasi itu, kes berkenaan telah selesai selepas satu perjumpaan diadakan dengan pegawai PPD Hulu Perak pada petang 14 Januari lalu.

"Saya memohon dan merayu kepada netizen supaya menghentikan kecaman terhadap pihak sekolah dan pengetua berkenaan. Pihak sekolah telah menjalankan tugas mengikut prosedur yang digariskan," ujarnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Maaf, Halau, Sekolah, Pengetua, Abang

Artikel Lain