Hantar rakan baru kematian bapa akibat kemalangan, pelajar rempuh pokok dalam perjalanan pulang... besar ujian untuknya, kereta sewa remuk teruk! - Viral | mStar

Hantar rakan baru kematian bapa akibat kemalangan, pelajar rempuh pokok dalam perjalanan pulang... besar ujian untuknya, kereta sewa remuk teruk!

(kiri) Keadaan kereta yang dipandu Muhammad Akif selepas terbabit dalam kemalangan. (kanan) Perbualan mengenai kejadian berlaku bersama seorang rakan. Foto ihsan Muhammad Akif Jamil

NASIB malang menimpa seorang pelajar apabila terlibat dalam kemalangan selepas menghantar seorang rakan yang mana bapanya meninggal dunia, juga akibat kemalangan.

Ketika kejadian, kereta yang dipandunya adalah kenderaan sewa dan mengalami kerosakan teruk, dan kisah sedih itu mendapat perhatian rakan-rakannya.

“Minta dipanjangkan sumbangan diperlukan untuk membaiki kereta. Kesian member. Sewa kereta sebab nak hantar member balik Sungai Petani, ayah dia meninggal kemalangan. Balik-balik dia pula kemalangan. Besar ujianmu anak muda,” menurut perkongsian yang menjadi tular di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: “Berapa kali dia nak kena marah?” - Vellfire remuk dihentam, pemiliknya ada alasan sendiri ajak pemandu lori lepak mamak

ARTIKEL BERKAITAN: Motor rosak tengah jalan tak sempat ambil pesanan roti canai… “Mujur ada abang ni walaupun tak kenal tapi macam adik-beradik”

Bagaimanapun, rata-rata warganet mempertikaikan sumbangan itu berikutan tuntutan insurans boleh dilakukan sekiranya kerosakan kereta teruk secara total lost.

Perkongsian di laman sosial bagi membantu Muhammad Akif.

Pemuda berkenaan, Muhammad Akif Jamil berkata, kemalangan berlaku di Tok Pulau di Simpang Ampat, Perlis pada pagi Ahad lalu semasa perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ke asrama di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Arau di Arau, Perlis.

Pelajar berusia 18 tahun itu memberitahu, kereta tersebut pada awalnya disewa bagi membawa keluarganya yang datang dari Langkawi untuk bersiar-siar pada Sabtu.

“Saya sepatutnya hantar balik kereta sewa tu pagi Ahad, tapi awal pagi tu saya dapat panggilan kecemasan daripada seorang rakan yang minta bantuan untuk hantar dia ke rumah makciknya di Sungai Petani, sebab ayah dia kemalangan.

“Dari rumah makciknya baru bertolak ke rumah keluarganya di Klang, Selangor dan dalam perjalanan tu baru dia dapat berita ayahnya meninggal dunia.

“Kami pergi berempat termasuk rakan sebilik dan seorang lagi rakan yang sakit minta saya tolong hantarkan ke rumah keluarganya juga di Sungai Petani,” katanya kepada mStar.

Keadaan kereta sewa yang dipandu Muhammad Akif selepas terbabit dalam kemalangan.

Muhammad Akif berkata, kereta yang dipandunya hilang kawalan sehingga terbabas ke tepi jalan sebelum merempuh pokok gara-gara mahu mengelak kucing melintas.

“Akibat kemalangan itu, ada kerosakan teruk di bahagian kiri hadapan kereta dan pintu penumpang hadapan, manakala cermin hadapan retak,” katanya sambil menambah dia dan rakan sebiliknya mengalami cedera ringan.

Bagi saya, kesusahan yang saya alami itu bukanlah ujian sebenar tetapi ujian bagaimana saya hadapi situasi orang lain yang ditimpa kesusahan sama ada saya dapat membantu mereka atau tidak.

MUHAMMAD AKIF

Menurutnya, laporan polis berhubung kejadian telah dibuat bersama pihak syarikat yang menyediakan khidmat kereta sewa, dan proses tuntutan insurans dilakukan.

Namun katanya, sejumlah bayaran perlu dibayar sebagai ‘pampasan’ kepada syarikat berkenaan sebagaimana terma dan syarat semasa dia menandatangani kontrak sewaan kenderaan sekiranya berlaku sebarang risiko di pihak pelanggan seperti kemalangan.

Muhammad Akif Jamil.

“Pada awalnya, saya berkongsi hal ni kepada ketua batch di fakulti. Dia nak minta bantuan ramai untuk derma kilat. Saya kata biarlah saya cuba selesaikan dulu.

“Tapi bila bincang dengan mak, dia kata kalau ada yang nak tolong itu adalah rezeki daripada Tuhan. Saya terharu dan berterima kasih kepada rakan-rakan terutama pelajar-pelajar senior yang tampil membantu,” katanya yang baru menyambung pengajian di UiTM bagi semester pertama sejak Julai lalu.

Mengenai insiden kemalangan yang berlaku selepas membantu rakan-rakannya, anak sulung daripada tiga beradik reda dan menganggap ada hikmah di sebaliknya.

“Bagi saya, kesusahan yang saya alami itu bukanlah ujian sebenar tetapi ujian bagaimana saya hadapi situasi orang lain yang ditimpa kesusahan sama ada saya dapat membantu mereka.

“Dalam pada itu, saya juga bersimpati dengan rakan yang kehilangan ayahnya. Walaupun tak sempat mandikan dan kafankan ayahnya, tapi dia diberi peluang mengimamkan solat jenazah dan mengebumikan jenazah ayahnya,” kata Muhammad Akif.

UiTM Arau , kereta sewa , jenazah

Artikel Lain