“Hari-hari cakap nak pergi syurga” - Lawat atuk sakit, cucu soleh lemas di kolam renang dewasa - Viral | mStar

“Hari-hari cakap nak pergi syurga” - Lawat atuk sakit, cucu soleh lemas di kolam renang dewasa

Walaupun perit untuk ditelan, keluarga ini reda dengan pemergian Aqil.

LULUH hati seorang ibu apabila anak yang dinanti selama enam tahun pergi secara mengejut dipercayai lemas semasa sedang mandi kolam di sebuah hotel terkemuka di Melaka.

Kisah tragis menimpa Muhammad Aqil Hamidi, 5, yang dikongsi ibu saudaranya, Siti Azlina Mhd Halil di Facebooknya ternyata mengundang sebak netizen.

Posting Siti Azlina menjadi tular apabila mendapat 27,000 perkongsian dan 15,000 komen di Facebook.

Menurut Siti Azlina, insiden menimpa Muhammad Aqil atau lebih mesra disapa Aqil berlaku dalam sekelip mata ketika mereka bermalam di sebuah hotel untuk memudahkan urusan menziarahi bapanya yang dirawat di sebuah hospital swasta berdekatan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia cakap tinggal sekejap” - Pengasuh sakit perut, jururawat pandu sendiri anaknya tercekik roti ke hospital... gagal diselamatkan

ARTIKEL BERKAITAN: Adik saksi abang tercekik 'fishball' di tadika, cikgu ingatkan sawan...“Dia hilang sekelip mata”

"Kami tak perasan dia pergi ke kolam dewasa. Sebelum tu kami semua mandi dekat kolam kanak-kanak. Dia main dengan anak-anak saya sekejap je. Lepas tu dia tak ada dengan kami.

Aqil ketika menziarahi datuknya yang sedang dirawat di sebuah hospital swasta berdekatan tempat penginapan mereka.

"Dia memang papa dia yang jaga. Mana saja dia pergi papa dia akan ikut. Lepas dah sejam (mandi dekat kolam kanak-kanak) saya ikut adik saya beralih dekat tempat dia lemas (belah hujung) tapi kami belah depan.

"Masa kami dah pindah kolam yang ada jakuzi rupanya dia ada dekat situ. Dalam 20 minit kami dah mandi dekat situ tiba-tiba bibik saya jerit 'puan Aqil lemas'.

"Saya ingatkan dia baru nak jatuh tapi bila saya lari untuk lihat keadaan dia ramai dah kemurun. Saya tengok dah ada orang beri CPR. Saya pun jerit nama dia dan tengok mak dia meraung di sisinya," kata wanita berusia 32 tahun itu.

Jelas Siti Azlina, Aqil dikejarkan ke hospital sejurus selepas kejadian itu tetapi tidak memberi tindak balas sehingga akhir nafasnya.

"Doktor cuba sedaya upaya untuk selamatkan Aqil tapi dia masih tidak memberikan sebarang respons. Dia masih bergantung dengan mesin.

"Tepat pukul 12.30 tengah malam doktor terpaksa habiskan ubat dan cabut segala wayar pada badan Aqil. Aqil disahkan tiada.

Aqil seronok mandi di kolam tersebut.

"Kami reda dengan pemergian Aqil. Dia pergi dalam keadaan sangat tenang. Muka Aqil indah, senyum, wanginya Ya Allah," katanya.

Siti Azlina yang juga usahawan kosmetik turut mendedahkan beberapa kelakuan pelik anak saudaranya itu sebelum pemergiannya.

"Beberapa bulan sebelum dia meninggal dia beritahu mama dia... mama Aqil nak masuk syurga tau. Dia pun cakap dengan kakak dia Aqil nak pergi syurga tau.

"Hari-hari dia cakap sejak dua tiga bulan lalu. Biasalah budak-budak dah sekolah, cikgu kan ajar pasal syurga jadi kita tak pun terfikir sangat.

Ya Allah, mulianya Aqil. Dengan umur baru lima tahun dah tahu semua. Patutlah Aqil dijemput ke syurga. Perjalanananya ke syurga sangat mudah.

SITI AZLINA MHD HALIL

Ibu saudara

"Dalam minggu lepas juga dia bagi je kakak dia duduk depan (motosikal) masa papa dia hantar pergi sekolah. Selalunya dia takkan bagi kakak dia duduk depan.

"Mama dia pun macam pelik. Begitu lamanya tiba-tiba dalam seminggu tu dia bagi kakak di duduk depan. Dia macam dah tahu-tahu yang kakak dia akan duduk depan selepas ni," katanya.

Ditanya mengenai keperibadian Aqil, Siti Azlina menyifatkan anak saudaranya sebagai seorang kanak-kanak yang soleh.

Aqil merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.

"Pernah suatu hari tu saya datang rumah Aqil saya tengok dia tengah mengaji dengan papa dia. Setiap kali solat Maghrib di rumah opah dan atok dia, Aqil mesti duduk depan jadi imam.

"Ya Allah, mulianya Aqil. Dengan umur baru lima tahun dah tahu semua. Patutlah Aqil dijemput ke syurga. Perjalanannya ke syurga sangat mudah," katanya.

Pada masa sama, Siti Azlina turut meluahkan rasa terkilan dengan tahap keselamatan di kawasan kolam renang hotel tersebut.

"Bila saya baca komen Ya Allah rupa-rupanya ini kes kematian kedua akibat lemas. Ramai juga yang beritahu nyaris lemas dekat situ.

"Memang tak sangka. Sepatutnya bila ada kes lemas sebelum ini pihak pengurusan hotel sepatutnya tingkatkan tahap keselamatan tapi mereka macam lepas tangan.

"Lantai kolam pun warna kelabu jadi air pun gelap, susah nak nampak kalau ada budak lemas. Saya harap pihak pengurusan hotel lakukan sesuatu sebelum insiden sama berulang lagi," katanya.

Jenazah Aqil selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Durian Tunggal, Melaka pada Ahad.

Aqil , meninggal dunia , lemas , kolam renang

Artikel Lain