Doktor diserang bekas suami selepas perbicaraan mahkamah, dahi bapa berjahit - “Sampai mati saya takkan maafkan!” - Viral | mStar

Doktor diserang bekas suami selepas perbicaraan mahkamah, dahi bapa berjahit - “Sampai mati saya takkan maafkan!”

Abdul Rahim Hashim dan anaknya, Dr Siti Nur Hidayah yang cedera selepas dipukul bekas menantunya. -foto Facebook Siti Nur Hidayah

“SAYA akan sedaya upaya cari keadilan di dunia, keadilan di akhirat biarlah dia tanggung sendiri”.

Demikian kata seorang lelaki warga emas, Abdul Rahim Hashim selepas video dia dan anak perempuannya yang dibelasah bekas menantu baru-baru ini tular di media sosial.

Bercerita kepada mStar, Abdul Rahim berkata dia tidak menyangka bekas menantunya itu tergamak memukul dirinya dan anak perempuan sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kau pukul bini aku, aku pukul kau kaw-kaw” - Ibu menangis anak lebihkan isteri, pernah ditelanjangkan menantu 'dari seberang' 

ARTIKEL BERKAITAN: “Orang tak gila nak terus pukul dia” - Dicop 'pelik', wanita ini dedah versi penuh insiden gaduh dengan tunang panas baran 

“Saya sendiri luka di bahagian dahi dan menerima tiga jahitan, selain rahang berasa sangat sakit akibat hantukan kepalanya.

“Sementara itu anak perempuan saya yang juga bekas isterinya turut dipukul tanpa rasa bersalah sehingga luka di kepala selain badannya lebam-lebam akibat dipijak-pijak,” katanya.

Abdul Rahim mendakwa, anak perempuannya, Dr Siti Nur Hidayah sebenarnya sudah lama menjadi mangsa sikap ganas lelaki tersebut.

Kami sebenarnya sangat takut dan trauma, bimbang dia lakukan perkara yang tidak diingini. Apa yang dia lakukan kepada kami selama ini, sampai mati saya takkan maafkan.

ABDUL RAHIM

“Sebelum ini, anak perempuan saya dikasari malah dicekik ketika mereka bergaduh. Isteri saya yang menyaksikannya juga tidak terkecuali menjadi mangsa sikap ganasnya.

“Apabila mereka bercerai, sikap ganas itu makin teruk. Bukan saja anak perempuan saya saja jadi mangsa, malah kami sekeluarga turut diganggu.

“Pernah dia langgar pagar rumah saya, curah air Milo ke muka saya,” dakwa Abdul Rahim.

Dalam video yang viral baru-baru, kedua-dua beranak itu diserang ketika dalam perjalanan pulang dari mahkamah.

Posting di Facebook Dr Siti Nur Hidayah mengenai isu yang viral dan gambar tayar keretanya (kiri) yang ditoreh ketika menghadiri perbicaraan mahkamah baru-baru ini. 

Difahamkan, lelaki itu bertindak sedemikian ekoran rasa tidak puas hati berkaitan hak penjagaan anak yang sedang dalam proses perbicaraan mahkamah.

Susulan penularan video tersebut, lelaki berkenaan kemudian ditahan untuk membantu siasatan namun dia dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.

“Kami sebenarnya sangat takut dan trauma, bimbang dia lakukan perkara yang tidak diingini. Apa yang dia lakukan kepada kami selama ini, sampai mati saya takkan maafkan.

“Tapi kami tetap akan sedaya upaya mencari keadilan di dunia. Untuk pihak di sana, ikutlah proses keadilan seperti yang sepatutnya. Jangan disebabkan dendam, kamu sanggup bertindak kasar.

“Dengan viralnya perkara ini, saya harap pihak yang berkaitan untuk mengambil tindakan agar tidak berlaku kepada orang lain,” katanya sebak. 

bekas menantu , pukul , belasah

Artikel Lain