suria

“Tak boleh nak urut-urut sendiri” - Sangka gastrik, akhirnya usus besar anak penuh najis... ibu bapa jangan terkejut tahu puncanya

Norhafiza bersama anak sulungnya, Hadhirah yang berusia 11 tahun.

SETIAP ibu pasti berdepan kesukaran untuk memastikan sayur-sayuran hijau menjadi sebahagian amalan pemakanan sihat dalam kalangan anak-anak.

Rata-rata anak kecil khususnya, jangankan makan, ternampak ada 'benda' hijau dalam pinggan mereka pasti akan dikuis-kuis ke tepi makanan itu.

Namun usah pandang remeh pengambilan sayur-sayuran kerana tabiat tersebut boleh menjejaskan kesihatan anak-anak.

Menerusi posting Norhafiza Jamaludin, dia berkongsi kisah anak sulungnya, Hadhirah Eryna Nor Hisham, 11, yang kerap sakit perut disebabkan najis terkumpul di dalam usus besarnya berpunca daripada kurang makan sayur-sayuran.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia minta telefon lagi...” - Tak serik! Bapa dedah reaksi anaknya sehari selepas kejadian ‘mata hitam’

ARTIKEL BERKAITAN: Disoal ibu duit buku ‘lesap’, murid salahkan ‘chicken chop sedap sangat’

Menurut ibu empat anak itu, dia pada mulanya menjangka anak sulungnya itu sekadar sakit perut akibat gastrik.

Hadhirah semasa menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Bahru, Kelantan pada 10 Julai lalu.

"Kakak dalam setahun ni kerap sakit perut, tak boleh tersalah lapar sikit dan tak boleh tersalah makan sikit. Tapi sebelum tu kami pergi klinik doktor diagnosis dia gastrik. Benda tu berulang kali jadi, kadang sebulan sekali, ada dua bulan sekali.

"Satu hari tu saya bubuh minyak panas dan urutlah perut dia sebab saya pun ingat gastrik. Bila dah keluar angin tu dia oklah. Tapi malam tu dia tak dapat tidur. Bila pagi tu pun dia kata sakit lagi sampai jalan pun membongkok," katanya kepada mStar.

Cemas melihat keadaan anaknya itu, Norhafiza membawa anaknya itu ke sebuah hospital swasta di Kota Bahru, Kelantan kira-kira tengah hari 10 Julai lalu.

Kesian kakak kena marah. Rupa-rupanya sakit lain. Biarlah insiden ini jadi peringatan kepada orang lain. Jangan pandang ringan gejala sakit perut ini kerana anak anda mungkin ada simptom sama seperti dialami anak saya.

NORHAFIZA JAMALUDIN

IBU

"Sampai saja di bahagian kecemasan doktor tanya history kakak. Saya beritahu dia kerap sakit perut dah lebih kurang setahun.

"Kiranya sebelum saya bawa pergi hospital tu dah masuk hari kedua dia sakit perut cuma sebelum ini bila selalu jadi begitu lepas sapu minyak panas dan urut dia dah ok," katanya.

Namun Norhafiza terkejut apabila dimaklumkan oleh doktor mengenai punca sebenar penyakit dialami anaknya itu.

"Doktor tanya dan pegang perut kakak. Doktor cakap bukan gastrik ni... (gastrik ) mungkin ada tapi sebenarnya najis banyak berkumpul dalam usus besar sebab tu sakit dia tak hilang.

Keputusan Xray mendapati najis penuh di saluran usus besar Hadhirah.

"Doktor pun tunjuk result xray abdomen. Saya sendiri terkejut bila tengok ada satu saluran usus besar kakak penuh dengan najis. Ya Allah memang tak sangka langsung sebab saya hanya ingatkan dia gastrik selama ni," katanya.

Norhafiza yang juga seorang peniaga dimaklumkan oleh doktor bahawa gejala itu berpunca daripada faktor pemakanan.

"Doktor beritahu ramai budak peringkat umur 10 dan 11 tahun alami penyakit itu. Mereka buang air besar tapi tak lawas... tak keluar semua. Bila yang lama-lama tertinggal sikit-sikit, lama-lama usus besar tak boleh tampung.

"Doktor kata biasanya berpunca dari faktor pemakanan sebab biasalah budak-budak tak makan sayur. Memang kakak tak suka makan sayur dan saya sendiri pun terasa sebab saya pun kurang makan sayur," katanya.

Susulan insiden itu, Norhafiza dinasihatkan doktor supaya mengawal pemakanan anak sulungnya itu.

"Doktor beritahu kena bagi kakak makan sayur. Kalau tak kena lebihkan buah dan pastikan dia minum banyak air masak. Sejak itu saya pun try  dengan beberapa jenis sayur yang dia suka.

Norhafiza kini lebih berhati-hati dengan pemakanan anak-anaknya.

"Kakak ni pula jenis memilih makanan. Dia makan sayur tertentu seperti lobak, bayam dan kubis tapi kalau pahit memang dia tak makan. Dia pun tak suka makan ikan tapi paling suka ayam.

"Sekarang kakak masih teruskan makan ubat untuk lembutkan najis sebab najis yang masih ada dalam usus tu perlu dikeluarkan. Tapi Alhamdulillah keadaan dia dah semakin ok berbanding tempoh hari," katanya.

Pada masa sama, Norhafiza turut menasihati orang ramai supaya jangan memandang remeh masalah kesihatan anak-anak.

"Kalau anak beritahu sakit tu kena cepat-cepat bawa pergi hospital. Kita tak boleh nak urut-urut sendiri kalau dah berlarutan dua tiga kali. Jangan jadi macam saya.

"Saya kesal juga sebab anak dah kerap sakit... sepatutnya saya pergi terus hospital. Biar doktor periksa tapi saya urut sebab ingatkan dia kembung perutlah, gastriklah dan salah makan.

"Kesian kakak kena marah. Rupa-rupanya sakit lain. Biarlah insiden ini jadi peringatan kepada orang lain. Jangan pandang ringan gejala sakit perut ini kerana anak anda mungkin ada simptom sama seperti dialami anak saya," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain