“Rasa nak menitik air mata sebab kagum”, ibu kelu lihat kerja seni anak 10 tahun... rujuk Youtube je! - Viral | mStar

“Rasa nak menitik air mata sebab kagum”, ibu kelu lihat kerja seni anak 10 tahun... rujuk Youtube je!

Rumah mini yang dibina oleh Haziq menarik perhatian ramai pelayar Twitter.

BARU berusia 10 tahun, namun bakat seni yang dimiliki kanak-kanak ini cukup menarik perhatian ramai.

Ianya bermula tatkala dia bosan sewaktu melalui tempoh pulih selepas berkhatan, hujung tahun lalu.

Disebabkan itu, Muhammad Irfan Haziq Shukor menghabiskan masa menonton Youtube sebelum mempelajari teknik membina rumah mini.

ARTIKEL BERKAITAN: Comelnya! Jangan tak percaya rumah mini kayu ini dibuat guna bahan kitar semula saja

ARTIKEL BERKAITAN: DIY panggung wayang mini di rumah, kosnya hanya RM20!

Berbekalkan modal kurang RM10, dia menghasilkan satu replika rumah kampung dengan menggunakan lidi sate.

Bercakap kepada mStar, ibu Haziq iaitu Noor Fadhilah Kamaruzaman, 32, mengakui hanya mampu tersenyum setiap kali hasil seni anaknya itu mendapat pujian ramai.

Perincian rumah mini hasil kerja tangan Haziq.

"Dari kecil dia minat benda-benda kreatif. Dia suka main susun-susun barang. Malah dia selalu ikut atuknya pergi buat rumah.

"Rumah mini ni pula dia buat masa lepas berkhatan tahun lepas. Dia belajar dari Youtube sahaja, tapi baru beberapa minggu lepas ia siap," ujar Noor Fadhilah sewaktu dihubungi pada Khamis.

Saya tak terkata dengan bakat seni Haziq, rasa nak menitik air mata sebab kagum dengan dia. Saya juga terharu bila orang doakan dan puji Haziq.

NOOR FADILAH KAMARUZAMAN

Ibu Haziq

Selain datuk Haziq yang bekerja sebagai tukang rumah, bakat Haziq turut diwarisi daripada bapanya, Shukor Omar, 45, seorang pekerja ladang yang berkebolehan dalam seni lukisan.

Malah, Haziq juga turut terinspirasi dengan bapa saudaranya yang bekerja sebagai arkitek memandangkan dia turut bercita-cita untuk berkecimpung dalam bidang sama.

Haziq mula membina rumah mini itu pada penghujung tahun lalu.

Menetap di Tanjung Batu, Pekan, Pahang, Noor Fadhilah berkata, dia tidak menyangka kerja seni anaknya itu akan tular di laman Twitter.

"Adik saya yang post di Twitter. Tak tahu pula akan viral.

"Saya tak terkata dengan bakat seni Haziq, rasa nak menitik air mata sebab kagum dengan dia. Saya juga terharu bila orang doakan dan puji Haziq," ujar ibu kepada dua cahaya mata itu.

Menurut Noor Fadhilah lagi, Haziq kini merancang untuk membina sebuah lagi rumah mini berkonsepkan rumah tradisional Sarawak.

Posting mengenai bakat seni Haziq yang tular di Twitter.

Dalam pada itu, posting mengenai kreativiti Haziq menerima lebih 25,000 ulang kicau (Retweet) di laman Twitter.

Kebanyakan netizen turut meluahkan rasa kagum mereka dengan kebolehan kanak-kanak itu.

"Semoga besar nanti dia jadi arkitek terhandal dekat Malaysia sebab kecik-kecik lagi daya imaginasi dia dah kuat dapat hasilkan sedemikian rupa," tulis @sooopeaa.

Haziq bersama ibu bapa serta adiknya.

"Weh pintu tu boleh bukak tutup ke? ok that’s impressive!" tulis @afqhzzi.

"Akak doakan Haziq berjaya dunia akhirat dan bahagia di samping keluarga yang sentiasa support bakat besar Haziq!," tulis seorang lagi netizen.