suria

Pengedar dadah rempuh motosikal di lampu isyarat, 2 gadis maut

Kedua-dua mangsa maut selepas dilanggar kereta tersebut. -Foto PDRM

HASRAT dua remaja perempuan untuk keluar bersantai bertukar tragedi apabila mereka maut dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki disyaki pengedar dadah di Temerloh, Pahang pada Rabu malam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, nahas berlaku kira-kira pukul 11 malam ketika dua gadis berusia 18 tahun terbabit keluar menaiki sebuah motosikal ke bandar untuk minum.

Menurut Mazlan, siasatan awal mendapati nahas berlaku ketika motosikal dinaiki berhenti di persimpangan Jalan Tengku Ismail kerana lampu isyarat merah.

"Ketika itu, sebuah kereta dari arah sama tidak berhenti di persimpangan berkenaan dan merempuh motosikal terbabit," katanya menerusi kenyataan media.

Jelasnya, pemandu kereta berusia 38 tahun yang berasal dari Kepong, Kuala Lumpur tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambah Mazlan, pihaknya menemukan beberapa paket plastik yang mengandungi dadah jenis syabu dan heroin ketika melakukan pemeriksaan dalam kereta suspek.

Susulan itu, pemandu kereta terbabit ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, untuk proses bedah siasat.

Artikel Lain