KEMATIAN tiga pengunjung konsert Pinkfish Countdown di Bandar Sunway disahkan akibat dadah perangsang.
Sementara itu punca kematian seorang lagi individu pada konsert ambang tahun baharu itu tidak dapat disahkan buat masa ini berikutan masih menunggu laporan patalogi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini seramai 53 orang saksi sudah dirakam percakapan berhubung kes berkenaan.
"Punca kematian adalah stimulant drugs intoxication manakala laporan seorang lagi mangsa masih dalam tindakan pihak hospital.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan akan dirujuk ke pihak koroner selepas siasatan selesai," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Empat maut selepas hadir konsert Pinkfish, tiada kecederaan luaran dikesan
ARTIKEL BERKAITAN: Konsert Pinkfish: Polis percaya ada individu jual ekstasi, RM50 sebiji
Sebelum ini, polis sedang menyiasat kematian empat individu selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu di Bandar Sunway.
Hussein berkata empat laporan polis diterima daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkaitan kematian melibatkan dua lelaki dan dua wanita warga tempatan.
Katanya, pemeriksaan ke atas semua individu berkenaan tidak menemui sebarang kecederaan luaran.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) namun siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau unsur keracunan.