JENAZAH tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu yang maut dalam kemalangan selamat dikebumikan pada petang Khamis.
Allahayrham Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rauthatul Aliyah, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor sekitar pukul 6.19 petang.
Sebelum itu jenazah Allahyarham tiba di kediaman keluarganya dari Dungun pada pukul 4.30 petang.

Tiga penuntut UiTM maut dirempuh SUV pada Rabu.
Upacara pengebumian itu dihadiri lebih 300 ahli keluarga, sanak-saudara serta rakan yang mengenali arwah.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, pula dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Baru, Muar, Johor kira-kira pukul 5.20 petang.
Upacara pengebumian itu dihadiri kira-kira 150 ahli keluarga serta kenalan Allahyarham.
ARTIKEL BERKAITAN: Wanita rempuh 4 pelajar UiTM Dungun direman, dipercayai tak siuman memandu Honda CRV
Sementara itu, jenazah Khairil Anwar, 20, disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang, Selangor.
Pengebumian Allahyarham sekitar pukul 5 petang turut dihadiri lebih 100 individu.
Untuk rekod, kesemua mangsa meninggal dunia selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kampung Sura Hujung, Dungun kira-kira pukul 7.20 malam, Rabu.
Pada Khamis, polis mengeluarkan perintah tahanan reman empat hari ke atas seorang wanita yang juga pemandu SUV berkenaan kerana menyebabkan kematian tiga penuntut UiTM itu.
Siasatan ke atas suspek berusia 49 tahun itu dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


