suria

Awas! Polis jejak penyebar rakaman insiden Faisal Halim disimbah asid

Rakaman CCTV individu dipercayai Faisal Halim yang disimbah asid tular sejak Rabu.

POLIS menyiasat individu yang menyebarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan insiden pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim disimbah asid.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi 56 saat di akaun X @OnefootballM pada Khamis.

Menurutnya, video tersebut merupakan bahan bukti yang masih dalam siasatan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Siasatan dimulakan bagi mengesan pihak yang menyebarkan video rakaman CCTV tersebut mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan bagi kesalahan mendedahkan maklumat.

"Sesiapa yang terlibat akan didakwa mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda yang tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Faisal Halim tak naik Vellfire... Pemilik kereta sebelah sahkan rakaman insiden simbah asid tulen

ARTIKEL BERKAITAN: Rakaman detik-detik Faisal Halim disimbah asid tersebar... Nampak kelibat pelaku ‘standby’ di sebalik deretan kereta

Hussein berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, dan jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Tambahnya lagi, mereka juga boleh dikenakan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video terbabit dan harus menghormati dan menjaga sensitiviti mangsa dan keluarga.

"PDRM memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang sengaja menyebarkan video, sekali gus mengganggu siasatan," katanya lagi.

Terdahulu, rakaman CCTV yang memaparkan individu dipercayai Faisal Halim disimbah asid mula tersebar di internet.

Berdasarkan rakaman berdurasi 56 saat yang dikongsikan itu, kelihatan seorang lelaki mirip pemain sayap kebangsaan berkenaan sedang berjalan di ruang parkir kereta di sebuah pusat membeli-belah.

Ketika dia menghampiri sebuah kereta berwarna putih, kelihatan seorang lelaki menyimbah cecair ke arahnya.

Pelaku kemudiannya membonceng sebuah motosikal yang ditunggang seorang lagi lelaki sebelum mereka bergegas melarikan diri.

Turut kelihatan dalam rakaman itu adalah seorang wanita, dipercayai isteri Faisal.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain