suria

Rakaman detik-detik Faisal Halim disimbah asid tersebar... Nampak kelibat pelaku ‘standby’ di sebalik deretan kereta

Rakaman CCTV individu dipercayai Faisal Halim yang disimbah asid tular pada pagi Rabu.

RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan individu dipercayai Faisal Halim disimbah asid mula tersebar di internet.

Video yang tular di akaun X @OnefootballM itu dimuat naik pada pukul 11.14 pagi Rabu.

Berdasarkan rakaman berdurasi 56 saat yang dikongsikan itu, kelihatan seorang lelaki mirip pemain sayap kebangsaan berkenaan sedang berjalan di ruang parkir kereta di sebuah pusat membeli-belah.

Ketika dia menghampiri sebuah kereta berwarna putih, kelihatan seorang lelaki menyimbah cecair ke arahnya.

Pelaku kemudiannya membonceng sebuah motosikal yang ditunggang seorang lagi lelaki sebelum mereka bergegas melarikan diri.

Turut kelihatan dalam rakaman itu adalah seorang wanita, dipercayai isteri Faisal.

ARTIKEL BERKAITAN: Faisal Halim cedera disimbah asid di litar go-kart dalam pusat beli-belah

Di ruangan komen, ramai netizen meluahkan rasa sedih menonton rakaman kejadian, namun ada yang turut mempertikaikan kesahihannya.

Menurut kronologi yang dilaporkan sebelum ini, Faisal sempat masuk ke dalam sebuah Toyota Vellfire sebelum diserang suspek.

Namun, video CCTV yang tular itu dilihat tidak menyamai laporan sebelum ini yang mana ia turut disedari netizen.

"Baca kronologi katanya sempat duduk dalam kereta Toyota Vellfire. dalam video macam bukan je.

"Banyak betul plot twist, bukan Vellfire, kronologi tak sama, apa benda ni semua.

"Betul la kereta Mercedes, bukan Vellfire. Media salah tulis pasal kereta. Dengar cerita kenalan, dia kata Mercedes time kena tu," tulis beberapa netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain