suria

Lesen memandu kini boleh diperbaharui untuk tempoh 10 tahun, siap ada diskaun!

Anthony Loke mengumumkan inisiatif pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) pada Rabu.

RAKYAT Malaysia kini boleh memperbaharui lesen memandu mereka untuk tempoh maksimum 10 tahun.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah tersebut adalah salah satu daripada inisiatif pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang dilaksana Kementerian Pengangkutan.

Loke berkata mereka yang ingin memperbaharui lesen memandu sehingga 10 tahun juga akan menikmati diskaun 10 peratus.

"Orang ramai akan dikenakan bayaran yang sama iaitu RM30 setahun, tetapi jika mereka memperbaharui selama 10 tahun sekali gus, bayarannya ialah RM270.

"Ini bermakna mereka hanya akan membayar selama sembilan tahun.

"Mereka yang ingin memperbaharui lesen perlu memastikan baki tempoh sah laku LMM semasa adalah tidak melebihi satu tahun," katanya pada sidang media di Putrajaya pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mekanisme cukai jalan lebih efisien sedang diusahakan” – Loke

Mengenai inisiatif kedua, Loke berkata mereka yang lesennya tamat tempoh pada 1 Januari 2018 juga boleh memperbaharuinya tanpa perlu mengambil semula ujian memandu.

Tempoh kebenaran khas ini hanya sah sehingga 31 Disember, dan syarat ujian memandu akan dikenakan semula mulai 1 Januari 2024.

Tambah Loke, inisiatif tersebut mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sepanjang pandemik Covid-19 serta kekangan dihadapi rakyat Malaysia di luar negara yang tidak dapat memperbaharui LMM masing-masing kerana tidak berpeluang untuk pulang ke tanah air.

"Kedua-dua inisiatif ini akan dikuatkuasa pada 8 Mei di semua pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja," katanya.

Loke menambah bahawa inisiatif itu hanya terpakai kepada warganegara Malaysia, dan bukan kepada warga asing yang memegang pas khas seperti kad MyKAS.

Ujarnya lagi, mereka yang ingin memperbaharui LMM juga perlu bebas daripada senarai hitam Polis Diraja Malaysia (PDRM), tiada sebarang sekatan sedia ada yang dikenakan oleh JPJ, dan bebas daripada sebarang penggantungan kerana sabitan atau perintah mahkamah. - THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain