suria

Kes dera Bella: Siti Bainun dipenjara 12 tahun

Siti Bainun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. foto Bernama

MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur menjatuhi hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun Ahd Razali selepas didapati bersalah atas tuduhan mengabai dan menganiaya melibatkan remaja Sindrom Down bernama Bella.

Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi mensabitkan hukuman itu pada Rabu selepas mendapati pihak pembelaan Siti Bainun, 31, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dua pertuduhan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes dera Bella: Siti Bainun didapati bersalah

Bagi pertuduhan pertama membabitkan pengabaian, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun.

Bagi pertuduhan kedua membabitkan menganiaya, pengasas Rumah Bonda itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun.

"Kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan secara serentak," kata Izralizam.

Terdahulu, Siti Bainun didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya melibatkan seorang remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Sebelum ini, Siti Bainun diarah membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Tertuduh berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain