suria

Diumpan cuba perisa baharu vape, 3 remaja perempuan dirogol secara berkumpulan

Mangsa diumpan untuk mencuba perisa baharu vape sebelum dirogol beramai-ramai. Gambar sekadar hiasan

TIGA remaja perempuan berusia 13 tahun yang diumpan untuk mencuba perasa vape baharu, akhirnya dirogol beramai-ramai oleh empat suspek remaja di sebuah rumah tumpangan di Kampung Air, Kota Kinabalu.

Kejadian dilaporkan berlalu pada 26 April lalu.

Kesemua empat suspek beserta seorang wanita telah ditahan polis selepas salah seorang mangsa membuat laporan pada 27 April, demikian menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah pada Isnin.

"Kesemua suspek berusia 13 hingga 17 tahun itu ditahan di sekitar bandar raya ini dan Telipok Ria di daerah Tuaran," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak perempuan umur 12 tahun dirogol! Tiga remaja bawah umur didakwa di Bahau

Susulan laporan pertama, siasatan polis mendapati dua lagi rakan mangsa turut dirogol secara berkumpulan oleh empat suspek yang tidak dikenali itu.

Mereka telah direman sehingga 5 Mei untuk membantu siasatan, kata ACP Mohd Zaidi.

Selain siasatan rogol mengikut Seksyen 375(b) Kanun Keseksaan, polis turut menyiasat suspek mengikut Seksyen 372(1)(a).

"Dalam kejadian itu, suspek empat lelaki dan seorang perempuan terbabit menegur ketiga-tiga mangsa ketika berada di sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini dan memujuk ketiga-tiga mangsa untuk lepak di rumah tumpangan mereka di Kampung Air.

"Ketika berada di rumah penginapan, mangsa telah diumpan untuk menghisap vape berperisa baharu," katanya.

ACP Mohd Zaidi berkata, kesemua mangsa menerima pelawaan itu, sebelum tidak sedarkan diri.

"Apabila mangsa terjaga pada tengah malam, mereka mendapati diri mereka tidak berpakaian manakala suspek telah menghilangkan diri.

"Ketiga-tiga mangsa mengesyaki mereka dirogol dan telah membuat laporan polis," katanya.

Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Kota Kinabalu berjaya mengesan dan menahan lima suspek termasuk seorang remaja perempuan pada 27 April lalu. - THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain