suria

Mahkamah tolak penangguhan hukuman, Siti Bainun diarah ke penjara serta-merta

Siti Bainun diarah menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula Rabu. Foto: Bernama

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Siti Bainun Ahd Razali menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan mengabai dan mendera remaja Sindrom Down bernama Bella, bermula hari ini (3 Mei).

Ini susulan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi yang menolak permohonan pengasas Rumah Bonda itu untuk penangguhan pelaksanaan hukuman, yang dijatuhkan awal tengah hari tadi.

Bagi pertuduhan pertama membabitkan pengabaian, Siti Bainun dijatuhi hukuman penjara 10 tahun.

Bagi pertuduhan kedua membabitkan menganiaya, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 tahun.

"Kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan secara serentak," kata Izralizam.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes dera Bella: Siti Bainun dipenjara 12 tahun

Peguamnya, Mohammad Farhan Maaruf, kemudian memohon penangguhan pelaksanaan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun Izralizam berkata, tertuduh gagal menunjukkan keadaan luar biasa bagi membolehkan mahkamah membenarkan permohonan penangguhan hukuman terhadapnya.

"Mahkamah ini telah mensabitkan tertuduh dan tiada sebab yang boleh meyakinkan saya untuk memerintahkan penangguhan pelaksanaan hukuman.

"Pihak pembela menyatakan tertuduh perlu menjaga ibunya tetapi ini adalah faktor peribadi yang melibatkan ahli keluarga.

"Memfailkan notis rayuan bukan justifikasi untuk penangguhan.

"Saya berpendapat keadilan dalam kes ini perlu dilaksanakan dengan hukuman segera dilaksanakan," katanya.

Siti Bainun, 31, disabitkan atas dua kesalahan pengabaian dan penderaan melibatkan Bella di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain