suria

Tak sampai sebulan pegang jawatan, Nurul Izzah bukan lagi penasihat kanan Anwar, umum keluar pejabat PM

Nurul Izzah berkata dia kini tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

PELANTIKAN Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ternyata tidak disenangi banyak pihak.

Pada Ahad petang, Nurul Izzah mengumumkan bahawa dia tidak lagi memegang jawatan itu selepas dilantik sendiri oleh bapanya pada bulan lalu.

"Saya tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri. Saya amat menghargai setiap peluang untuk menyumbang kepada negara demi melakar masa depan yang lebih baik untuk Malaysia," ujarnya menerusi satu kenyataan.

Jelas Nurul Izzah, dia memilih untuk mengundur diri kerana mahu fokus terhadap Sekretariat Jawatankuasa Penasihat yang baharu disertainya.

"Pengerusi Jawatankuasa Penasihat kepada Menteri Kewangan, Tan Sri Mohd Hassan Marican mengundang saya menyertai sekretariatnya bagi membantu usaha mereka dalam memperkukuh ekonomi negara dan rakyat. Saya dengan rendah diri menerima tanggungjawab ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Nurul Izzah jadi penasihat kewangan PM, kerja tanpa gaji

"Saya mengambil kesempatan ini bagi menzahirkan sepenuh penghargaan atas setiap sokongan dan dokongan yang diberikan, baik daripada orang ramai mahupun seluruh pasukan perkhidmatan awam dan komuniti kerajaan.

"Saya berharap khidmat membantu Tan Sri Mohd Hassan Marican beserta anggota jawatankuasa lain mampu memberi manfaat kepada negara tercinta. Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh Jawatankuasa. Sama-samalah kita menyumbang dalam sebarang kapasiti demi negara kita," ujarnya lagi.

Untuk rekod, Anwar pada 29 Januari lalu mengesahkan anaknya, Nurul Izzah dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada beliau.

Menurut Anwar, beliau mempelawa anaknya itu untuk menjawat jawatan tersebut bagi membantunya di Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.

Walaupun begitu, beliau tidak membayar apa-apa elaun kepada Nurul Izzah untuk jawatan tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain