suria

Tiada duit bayar kos urus jenazah isteri, nelayan terpaksa berhutang… Mujur arwah pencarum SKSSR, waris dapat faedah pengurusan mayat

Shafie (kiri, tengah) bersama arwah (kanan, tengah) dan ahli keluarga.

PEMERGIAN seorang wanita yang bergelar ibu dan isteri merupakan satu kehilangan besar bagi keluarga ini.

Begitulah yang dihadapi seorang nelayan, Shafie Afendi dan tiga lagi anaknya setelah srikandi hati mereka, Allahyarham Che Tom Lah meninggal dunia di usia 51 tahun, pada 5 Disember tahun lalu akibat masalah sendi saraf.

Bagi Shafie, dia terkilan kerana tidak mempunyai wang simpanan untuk menampung kos pengurusan jenzah isterinya.

"Saya bekerja sendiri sebagai seorang nelayan. Pendapatan yang diperoleh tak tetap. Setiap bulan saya cuma dapat sekitar RM700. Masa kematian isteri saya tahun lalu, saya tidak mempunyai wang yang cukup untuk menampung bayaran untuk menguruskan jenazah arwah berjumlah RM1,800.

"Saya terpaksa pinjam daripada jiran di kampung ini sebagai wang pendahuluan. Bagi saya pada ketika itu, asalkan jenazah selamat dikebumikan pun sudah cukup," katanya yang menetap di Sungai Limau Jerai, Yan, Kedah.

Namun umpama mentari pagi yang menerangi alam, kira-kira sebulan selepas pemergian arwah isteri tersayang, Shafie menerima bantuan khairat kematian isterinya dibawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) sebanyak RM2,000.

Katanya, dia berasa lega kerana wang tersebut dapat digunakan untuk membayar pinjaman kepada jiran-jirannya sebelum ini.

Perkeso melancarkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 pada Sabtu ini.

"Masa nak uruskan kematian isteri tu saya berasa agak buntu untuk mencari wang pendahuluan nak uruskan jenazah kerana tidak mempunyai simpanan cukup. Tapi mujurlah isteri saya merupakan seorang pencarum Perkeso, jadi saya ada terima sejumlah wang daripada mereka.

“Saya gunakan wang tersebut untuk membayar balik pinjaman. Saya bersyukur dan berterima kasih dengan bantuan diberikan ini, saya tak perlu lagi fikirkan mengenai beban untuk bayar semula hutang pengurusuan kematian isteri," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Untuk rekod, di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838), waris kepada Suri Rumah Berinsurans (SRB) yang meninggal dunia layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000.

Selain itu bayaran berkala Pencen Penakat sebanyak maksimum RM300 sebulan disediakan mengikut kelayakan syer orang tanggungan.

FPM dan Pencen Penakat adalah faedah yang disediakan di bawah SKSSR apabila berlaku kematian.

Faedah ini dibayar kepada orang tanggungan seperti duda dan anak-anak yang layak apabila SRB meninggal dunia sebelum mencecah usia 55 tahun.

Sehingga kini seramai 141,144 suri rumah mencarum SKSSR di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak diperkenalkan mulai 1 Disember lalu.

Justeru kaum wanita yang layak dan belum berdaftar di bawah SKSSR, anda digalakkan untuk segera berbuat demikian.

Anda dialu-alukan untuk menyertai Karnival Kerjaya MyFutureJobs 2023 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 11 dan 12 Februari bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang faedah SKSSR.

Medium mudah mencari pekerja

Bagi Penolong Pengurus Bahagian salah satu daripada rangkaian kedai serbaneka 99 Speed Mart Sdn Bhd, Nurul Ain Ismail, pihaknya begitu teruja dengan penganjuran Karnival Kerjaya MyFutureJobs ini.

Menurut Ain, 99 Speed Mart Sdn Bhd menjalinkan kerjasama dengan Perkeso bermula tahun 2018 sehingga kini dalam menyertai pelbagai karnival kerjaya baik secara bersemuka mahupun secara maya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Antara majikan yang terlibat dalam Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023.

"Perkhidmatan MyFutureJobs yang diperkenalkan Perkeso secara tidak langsung membantu dalam kelancaran proses pengambilan pekerja secara terus.

"Malah, dengan adanya perkhidmatan seperti program ini, ia memberikan pendedahan serta kriteria awal berkenaan kekosongan jawatan yang ditawarkan dalam masa sama mendapat sokongan padu daripada pegawai Perkeso sendiri," katanya.

Bukan itu sahaja, penyertaan dalam karnival kerjaya ini sangat membantu untuk pencari kerja mendapatkan lebih informasi serta kriteria yang diperlukan oleh majikan.

"Syarikat kami sentiasa memberikan kerjasama yang sepenuhnya dalam menjayakan segala program karnival kerjaya yang dianjurkan oleh Perkeso.

"Sukacita dimaklumkan, ramai pencari kerja telah berjaya menjadi sebahagian keluarga besar 99 Speed Mart menerusi program karnival kerjaya yang dianjurkan ini," ujar Ain menerusi satu temubual bersama mStar.

Ain bersama pencari kerja ketika karnival kerja tahun lalu.

Dengan inisiatif berterusan daripada pihak Perkeso, 99 Speed Mart optimis dalam menyahut seruan kerajaan mengurangkan kadar pengangguran baik daripada kalangan para graduan, perantis serta juga golongan B40 sedia ada.

"Terima kasih kepada pihak Perkeso yang sentiasa memberi peluang kepada 99 Speed Mart untuk menyertai karnival kerjaya ini.

"Kepada semua pencari kerja, nasihat daripada kami, nak cari kerja, carilah 99 Speed Mart untuk masa depan yang lebih terjamin," katanya.

Karnival Kerjaya MyFutureJobs ialah medium semua pencari kerja dan majikan.

MyFutureJobs menggunakan teknologi AI dan algoritma pemadanan yang disahkan untuk menyediakan padanan kerja paling tepat berdasarkan kemahiran dan kecekapan pencari kerja.

Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Program anjuran Kementerian Sumber Manusia (KSM) itu dijangka dikunjungi lebih 5,000 pencari kerja di seluruh negara termasuk pengunjung dalam kalangan suri rumah dan wanita serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

MyFutureJobs menggunakan teknologi AI dan algoritma pemadanan yang disahkan untuk menyediakan padanan kerja paling tepat berdasarkan kemahiran dan kecekapan pencari kerja.

Penganjuran karnival itu juga adalah antara usaha berterusan KSM melalui Perkeso untuk mewujudkan peluang pekerjaan secara mampan kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan rentan seperti OKU.

Katanya lagi, ia sekali gus menyokong usaha dan komitmen kerajaan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan ekonomi semasa dan pasca pandemik Covid-19, terutama mereka yang kehilangan pekerjaan atau menganggur.

Orang ramai diminta untuk membuat pra-pendaftaran dan sebarang maklumat lanjut berkaitan ekspo ini boleh diakses melalui pautan www.myfuturejobs.gov.my/careerfair.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Careline Perkeso di talian 1-300-22-8000 atau 03-80915300 atau e-mel ke [email protected].

Oleh itu apa tunggu lagi... ayuh beramai-ramai kunjungi Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain