suria

Tersalah sebut ‘sembah syaitan’ ketika ulas perarakan Thaipusam, ustaz Wadi Annuar mohon maaf kepada penganut Hindu

Ustaz Wadi Annuar memohon maaf kepada penganut Hindu. -Foto Media Ustaz Wadi Annuar

TOKOH penceramah terkenal, Ustaz Wadi Annuar membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kenyataannya mengenai perarakan Thaipusam yang turut disertai kaum Melayu beragama Islam, baru-baru ini.

Menerusi kenyataan yang disiarkan di Instagram, Ustaz Wadi Annuar atau nama sebenarnya, Mohamad Wadi Annuar Ayub berkata, beliau terlepas pandang dan terkhilaf apabila menyebut perkataan 'sembah syaitan' dalam satu ceramahnya.

"Bahawa saya, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub dengan ini merujuk kepada kenyataan saya pada 10 Februari 2023 bertempat di Masjid Al-Azim, Masjid Negeri, Negeri Melaka.

"Di dalam ceramah itu, saya menyebut tentang perarakan Thaipusam yang dihadiri oleh sekumpulan orang Melayu dan ia merupakan kesalahan dalam agama Islam kerana menyertai perayaan agama lain yang berbentuk keagamaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja mualaf tak sabar nak sambut Ramadan, akui tenang lihat video Saharul Ridzwan berselawat... Ustaz Wadi Annuar, UAI pula cetus inspirasi

"Saya terlepas pandang dengan menyebut perkataan 'sembah syaitan', dan ia kekhilafan daripada saya sendiri," demikian menurut kenyataan pendakwah berkenaan.

Menerusi kenyataan tersebut juga, Ustaz Wadi Annuar berkata beliau sama sekali tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana penganut agama lain.

wadi pic

Kenyataan permohonan maaf Ustaz Wadi Annuar.

"Dengan ini, saya memohon maaf kepada seluruh masyarakat India beragama Hindu di atas kenyataan tersebut.

"Di sini juga saya ingin menyatakan bahawa saya sangat menghormati semua masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Semoga dengan kenyataan permohonan maaf ini, keharmonian rakyat berbilang kaum di negara kita dapat dicapai," menurutnya lagi.

Hantaran Ustaz Wadi turut mengundang perhatian warga maya dengan rata-ratanya memuji pendekatan pendakwah berkenaan.

Malah mereka turut mendoakan agar pendakwah berkenaan terus cekal dalam usaha menyampaikan dakwah dan teguran kepada masyarakat Islam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain