suria

Mampu panjat bangunan tinggi, raih RM50,000 dalam 5 kes rompakan... ‘Spiderman’ umur 38 tahun akhirnya ditangkap di Melaka

Lelaki dikenali sebagai Spiderman itu terlibat dalam lima kes rompakan dengan kerugian RM50,000.

SEORANG perompak dikenali sebagai 'Spiderman' merupakan antara 20 suspek daripada lima kumpulan samun yang telah dilumpuhkan oleh polis di Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata mereka yang ditahan termasuk tiga wanita berusia antara 22 dan 57 tahun.

"Kami memulakan operasi enam bulan lalu dan menahan 20 individu termasuk suspek dikenali sebagai Spiderman.

“Kumpulan samseng itu dikenali sebagai Zahid, Michael, Ruben, Botak dan A-D-C,” katanya pada Selasa.

Menurutnya, lima kumpulan samseng itu terlibat dalam 49 kejadian samun di kilang, rumah ibadat dan rumah di sekitar daerah Melaka Tengah sejak awal tahun ini.

Beliau berkata 'Spiderman' yang merupakan lelaki berusia 38 tahun, mempunyai kebolehan memanjat bangunan tinggi dan terlibat dalam lima kes dengan kerugian ditanggung mangsa berjumlah RM50,000.

“Operasi kami tamat pada 20 Jun lalu,” katanya.

Selain itu, beberapa alat yang digunakan untuk melakukan rompakan turut dirampas.

Beliau berkata polis turut merampas sebuah kereta, tiga motosikal, 13 telefon bimbit dan wang tunai daripada kesemua suspek.

“Jumlah kerugian dalam kesemua rompakan itu mencecah hampir RM500,000,” katanya lagi. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain