suria

Pelajar dibuli, badan ditekap seterika panas pada waktu malam... 10 senior asrama ditahan

Mangsa cedera akibat ditekap dengan seterika panas. (Gambar Hiasan)

KES buli di sekolah berasrama bagaikan tidak berkesudahan.

Kali ini, seorang pelajar lelaki Tingkatan 2 terpaksa menanggung derita apabila badannya ditekap dengan seterika panas pada Khamis lalu.

Mangsa turut cedera akibat dipukul sekumpulan pelajar senior dalam kejadian buli di sebuah sekolah di Teluk Intan, Ipoh, Perak.

Kejadian sekitar jam 12.30 malam itu dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu selepas mangsa berbual dengan seorang pelajar wanita.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan awal mendapati, mangsa telah dicederakan oleh 10 pelajar senior berusia antara 16 hingga 17 tahun semasa berada di asrama sekolah.

Menurutnya, seorang daripada suspek telah membawa mangsa ke bilik asrama dan kemudiannya memukul mangsa secara beramai-ramai termasuk mencederakannya menggunakan seterika panas pada badan.

"Mangsa kemudiannya menghubungi ibunya sebelum dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan.

"Mangsa yang mengadu sakit di bahagian pinggang masih menerima rawatan di hospital berkenaan dan kini berada dalam keadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, soal siasat dijalankan mendapati, pergaduhan berpunca perasaan cemburu kerana mangsa berbual dengan seorang pelajar yang juga merupakan teman wanita kepada seorang suspek yang membulinya.

Katanya, semua suspek terlibat telah ditahan pada hari sama dan direman selama empat hari sehingga Isnin ini.

"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 148/326 Kanun Keseksaan.

"Polis meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelak kegusaran masyarakat yang boleh mengganggu siasatan," katanya. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain