suria

Tragis dua beradik maut kemalangan, kereta dipandu bapa dirempuh treler

Keadaan kereta yang remuk selepas terbabit dalam nahas yang mengorbankan dua beradik.

TRAGIS, dua beradik maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 310 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan di Kampar, awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, kereta yang dipandu bapa mangsa dirempuh sebuah treler dari arah belakang.

Mangsa, Nurqalesya Adriana Jaafar, 12, maut di lokasi kejadian manakala adiknya, Muhammad Saiful Amry, 9, meninggal dunia di Hospital Tapah.

ARTIKEL BERKAITAN: Lima mangsa rentung disahkan pelajar Usas, pemandu treler direman bantu siasatan

Kejadian turut mengakibatkan bapa mangsa, Jaafar Ahmad, 49, cedera di kaki kanan, manakala dua lagi anaknya masing-masing berusia 14 dan enam tahun cedera ringan.

"Seorang wanita dipercayai tunang kepada pemandu, Nurshazwana Abdul Wahab, 24, yang turut berada di dalam kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pemandu treler, M Balamurugan, 47, dari Sungai Petani, Kedah, juga tidak mengalami kecederaan," katanya pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika keluarga terbabit dalam perjalanan dari Kedah ke Seremban untuk menghantar empat beradik berkenaan ke rumah ibu mereka.

"Tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Iswara dipandu Jaafar telah merempuh bahagian belakang sebuah lori yang berada di hadapan menyebabkan kereta itu mati enjin.

"Sebuah treler dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta terbabit," tambahnya.

Mohamad Nazri berkata, Jaafar yang bekerja sebagai pemandu lori, dalam perjalanan menghantar anak-anaknya ke rumah bekas isteri di Seremban, Negeri Sembilan.

"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dilaporkan, polis kini sedang mengesan sebuah lagi lori yang terlibat dalam kejadian itu kerana ketika kejadian, kenderaan berat berkenaan meneruskan perjalanan, berkemungkinan tidak sedar akan kejadian, katanya. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain