suria

Zuraida enggan komen kedudukan dalam Kabinet, jumpa PM dalam masa terdekat

Zuraida mengumumkan keluar dari parti Bersatu minggu lalu. Foto: Azman Ghani/The Star

AHLI Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan kedudukannya sebagai menteri Kabinet, susulan tindakannya menarik diri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu menambah, sidang media khas juga akan diadakan sebaik sahaja pertemuan beliau dengan Perdana Menteri selesai, minggu depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Zuraida umum keluar Bersatu, sertai PBM

"Saya akan berjumpa Perdana Menteri dan masih menunggu tarikhnya. Insya-Allah dalam masa terdekat, (pertemuan) akan membincangkan kedudukan saya dalam Kabinet," katanya pada Khamis.

Zuraida bercakap kepada media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas tiba dari lawatan kerjanya di Turki dan Greece.

Beliau juga mengesahkan bahawa permohonan keahliannya di bawah Parti Bangsa Malaysia (PBM) telah dikemukakan kepada parti itu untuk diproses.

Ditanya mengenai tuntutan Bersatu terhadap jawatan menteri yang disandangnya ketika ini, Zuraida berkata keputusan itu terletak di tangan Ismail Sabri.

"Saya tidak ada komen (mengenai jawatan menteri). Kita tunggu Perdana Menteri buat keputusan," katanya.

Pada 26 Mei, menteri itu mengumumkan bahawa beliau telah meletak jawatan daripada Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain