suria

Syukur... 14,306 kuota jemaah haji Malaysia tahun ini

Kuota haji Malaysia pada 2022 adalah 14,306 orang. -gambar hiasan / foto AFP

KUOTA haji buat jemaah Malaysia pada tahun ini adalah seramai 14,306 orang.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Idris Ahmad, pada petang Khamis.

"Saya sukacitanya ingin mengumumkan bahawa kuota haji Malaysia yang diterima daripada Kerajaan Arab Saudi adalah seramai 14,306 orang atau 45 peratus dari kuota tahunan yang biasa diterima sebelum ini iaitu 31,600.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada rakyat Malaysia akan ke Makkah tunai haji tahun ini - Menteri Agama

"Peratusan yang sama juga (45 peratus) adalah terpakai buat semua negara lain," katanya yang bersiaran secara langsung di Facebook.

Idris berkata, bagi pihak Kerajaan Malaysia, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi dengan jumlah kuota yang diberikan kepada jemaah haji Malaysia.

"Ini adalah satu berita baik buat umat Islam di Malaysia yang telah menunggu selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.

"Kerajaan Arab Saudi tentunya telah membuat penilaian serta penelitian dalam semua aspek bagi memastikan keselamatan para jemaah haji untuk melaksanakan Rukun Islam kelima terjamin," katanya.

Tambah beliau, Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan surat tawaran dalam masa terdekat.

"Bakal jemaah yang terpilih diminta membuat pemeriksaan kesihatan dan menjawab surat tawaran dengan kadar segera. Bakal jemaah juga dinasihatkan supaya bersedia dengan dokumen-dokumen yang berkaitan terutama pasport.

"Semua jemaah haji Malaysia perlu mengambil suntikan wajib Meningococcal serta vaksin Covid-19 apabila dipanggil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya proses pengambilan vaksin dapat dijalankan mengikut masa yang ditetapkan," katanya.

Arab Saudi pada tahun ini menetapkan kuota haji seramai satu juta jemaah bagi musim 2022.

Jumlah itu adalah 45 peratus berbanding 2.5 juta orang, pada 2019.

Pada tahun ini, jemaah haji yang dibenarkan pula adalah berumur bawah 65 tahun, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi Covid-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam dari masa berlepas.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain