suria

Tiada rakyat Malaysia akan ke Makkah tunai haji tahun ini - Menteri Agama

Malaysia tidak akan menghantar jemaah bagi Musim Haji 1442H dan menghormati keputusan kerajaan Arab Saudi.

KERAJAAN Arab Saudi memutuskan ibadah haji bagi Musim Haji 1442H dihadkan hanya untuk warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut sahaja.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Sabtu malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Umat Islam diminta tangguh persiapan haji dan umrah - Arab Saudi

"Hal ini disebabkan situasi semasa pandemik Covid-19 yang membimbangkan di seluruh dunia.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Justeru, mewakili kerajaan Malaysia, saya ingin menyatakan bahawa Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji bagi musim haji 1442H, akur serta menghormati keputusan kerajaan Arab Saudi yang hanya membenarkan ibadah haji dijalankan bagi warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut," ujar Zulkifli.

Beliau juga akan memastikan segala urusan rakyat Malaysia yang telah berada di sana dan terpilih untuk melaksanakan ibadah haji diuruskan dengan sebaiknya oleh Lembaga Tabung Haji, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Selain berterima kasih atas hubungan baik kerajaan Arab Saudi dengan Malaysia, beliau dalam kenyataan sama turut memohon maaf kepada bakal jemaah haji yang terpaksa menangguhkan kunjungan mereka ke tanah suci pada tahun ini.

"Saya memohon maaf kepada semua bakal jemaah haji yang amat cinta dan rindukan dua tanah suci kerana terpaksa menangguhkan ibadah haji pada tahun ini.

"Keputusan ini sudah pasti amat berat dan sukar untuk diterima, tetapi kita tetap yakin dengan hikmah di sebalik keputusan tersebut.

"Sesungguhnya hifz al-nafs (memelihara nyawa) adalah salah satu daripada prinsip Maqasid Syariah yang sentiasa dijunjung oleh kerajaan Malaysia dalam mengambil sebarang keputusan," ujar beliau lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain