suria

Siku pembonceng wanita! Polis buka dua kertas siasatan

Penunggang siku wanita disiasat.

VIDEO tular yang memaparkan seorang wanita disiku seorang lelaki ketika berada di atas motosikal semasa melalui Jambatan Teluk Gadong, Jalan Sungai Bertih Klang di Selangor baru-baru ini, mendapat perhatian pihak berkuasa.

Susulan itu, pasukan polis membuka dua kertas siasatan bagi menyiasat kes tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Rider dari neraka’! Sempat mengganas atas jalan, lelaki ‘belasah’ wanita bawa budak... Apalah nasib akak tu nanti?

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, rakaman video dari 'dashcam' sebuah kereta berdurasi 11 saat itu dikesan pihaknya di laman sosial Facebook pada Rabu.

Menurutnya, rakaman video tersebut memaparkan seorang lelaki iaitu penunggang motosikal menyiku menggunakan tangan kiri sebanyak dua kali di bahagian kepala pembonceng motosikal yang dipercayai adalah wanita.

"Susulan itu, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan kecederaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan perkhidmatan rangkaian.

"Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti identiti penunggang dan pembonceng motosikal terbabit," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta untuk hadir ke balai polis berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222.

Katanya, pihak polis juga menasihatkan kepada orang awam sentiasa berhati-hati semasa memandu atau menunggang kenderaan agar tidak membahayakan diri sendiri dan orang lain. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain