suria

Mungkin masih ada rakyat Malaysia di Ukraine, diminta segera hubungi kedutaan - Saifuddin

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah ketika sidang media di menara Majlis Bandaraya Johor Baru (MBJB) pada Khamis.

RAKYAT Malaysia yang masih terkandas di Ukraine diminta untuk segera menghubungi kedutaan Malaysia di Warsaw, Poland bagi mendapatkan bantuan.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, walaupun kumpulan yang berdaftar dengan pihak kedutaan Malaysia di Kyiv telah selamat dihantar pulang, namun pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa rakyat negara ini yang masih berada di Ukraine tanpa pengetahuan pihak kedutaan.

"Ketika ini status Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv, Ukraine tergantung kerana tiada pegawai bertugas di negara itu, semua pegawai dan rakyat Malaysia sudah keluar.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia di Ukraine dijangka tiba di tanah air esok - PM

"Cuma, kita tahu berkemungkinan ada seorang dua rakyat Malaysia yang tidak berdaftar, masih berada di negara itu. Nasihat kita ialah mereka harus berhubung dengan kedutaan paling dekat, iaitu di Warsaw," katanya dalam sidang media di menara Majlis Bandaraya Johor Baru (MBJB) pada Khamis.

Ditanya sama ada Wisma Putra menerima sebarang maklumat mengenai kes seumpama itu, beliau berkata pihaknya masih belum menerima maklumat berkenaan.

Pada Selasa (1 Mac), sembilan rakyat Malaysia bersama dua orang tanggungan mereka selamat tiba di Kuala Lumpur.

Setakat ini tiga belas rakyat Malaysia telah meninggalkan Ukraine antara 14 hingga 24 Februari atas nasihat kedutaan Malaysia di Kyiv. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain