suria

Kerajaan belum putuskan SOP solat tarawih, imarah masjid sepanjang Ramadan - Idris

Kerajaan masih belum membuat ketetapan SOP untuk Ramadan khususnya solat tarawih dan imarah masjid buat masa ini. Gambar hiasan

PROSEDUR Operasi Standard (SOP) untuk Ramadan khususnya solat tarawih dan imarah masjid sepanjang bulan puasa masih lagi belum diputuskan buat masa ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, sebarang perubahan SOP adalah bergantung kepada situasi semasa dan saranan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

ARTIKEL BERKAITAN: Manis dan nikmatnya solat tarawih jika tahu kelebihannya! Ini 3 kunci utama untuk terus istiqamah

"Setakat hari ini kita belum putuskan SOP Ramadan tetapi tidak bermakna masjid ditutup. Garis panduan mungkin menggunakan SOP sedia ada atau dilonggarkan.

"Ia bergantung kepada keadaan dan nasihat KKM kemudian kita akan berbincang dengan pihak berkuasa agama negeri," katanya sewaktu majlis pelancaran sumbangan tablet kepada pelajar dan bantuan wifi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Surau Jumaat At-Taqwa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur pada Khamis.

Turut hadir, Pengerusi MAIWP, Tan Sri Mohd Daud Bakar dan Pengerusi Pertubuhan Dana Kita, Mohd Fadli Mohamed Salleh.

Mengenai program itu, Idris berkata, MAIWP memperuntukkan sebanyak RM9.3 juta bagi bantuan tablet kepada 5,000 pelajar asnaf dan RM600,000 bagi pemasangan wifi di dewan atau surau melibatkan sepuluh PPR terpilih di Wilayah Persekutuan.

Selain itu katanya, MAIWP turut menyalurkan peruntukan RM614,000 kepada Pertubuhan Dana Kita bagi melaksanakan makmal internet bergerak menggunakan sebuah bas dilengkapi kemudahan komputer dan internet yang akan ke kawasan kediaman penduduk sekitar Kuala Lumpur secara berkala.

Peruntukan tersebut adalah amanah daripada pengeluar zakat untuk disampaikan kepada golongan memerlukan terutama bagi mengurangkan bebanan masyarakat yang terkesan dengan pandemik, kata beliau. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain